Thursday, March 14, 2013

Adikku Nurzaliza

Nur Zaliza, pemilik nama itu amat istimewa dalam hatiku. Aku menyayanginya melebihi sayangku kepada diriku sendiri. Aku rela korbankan apa sahaja untuknya. Dia benar-benar istimewa dalam hatiku. Terlalu istimewa!
“ Jaja sayang abang…” aku rindu sekali hendak mendengar ucapan itu dari bibir mugilnya. Aku sangat sayangkan satu-satunya adik perempuanku itu.
“ Kenapa mama tidur tutup muka bang?” Tanyanya suatu tika dulu. Dia baru berusia 8 tahun ketika itu. Mama kami meninggal kerana kanser hati. Aku masa itu berumur 15 tahun hanya merintih di dalam hati mendengar pertanyaan adikku. Abang Shamsul dan Zulhelmi hanya membeku di sisi ayah. Memang Jaja rapat denganku, berbanding dengan adik-beradik yang lain.
“ Abang! Kenapa mama tidur tutup muka?” ulangnya.
“ Mama kita dah meninggal dik.” Susah payah aku menjawab, dalam kesedihan ditinggal oleh mama kami dan kepiluan melihat wajah adik kesayanganku.
“ Meninggal tu apa?” Tanya Jaja lagi, nyata dia belum mengerti dengan apa yang terjadi. Dia memang tidak pernah mengalami kehilangan sebelum ini.
“ Mama akan pergi jauh.” Sahut ayah, setelah aku tidak mampu mencari ayat yang sesuai.
“ Jaja nak ikut mama..” tiba-tiba Jaja teresak-esak.
“ Tak boleh Jaja… Jaja kena duduk sini dengan ayah, abang Sham, abang Mizan dengan abang Zul.” Pujuk ayah sambil menyeka air mata. Aku faham perasaan ayah. Ayah amat menyayangi arwah mama.
“ Jaja nak mama…” tangisan Jaja semakin nyaring. Suasana jadi ribut sebentar. Ketika Jaja meluru hendak mendapatkan jenazah mama, aku sempat menariknya ke dalam dakapanku. Aku peluk tubuh kecilnya erat-erat. Aku mahu dia tahu yang dia tidak akan berseorangan.
“ Abang ada sayang…. Abang akan jaga Jaja” Pujukku.
“ Siapa yang nak masak untuk Jaja?” tanyanya dalam esak tangisnya.
“ Abang”
“ Siapa nak tidurkan Jaja?”
“ Abang.”
“ Jaja sayang abang…” ucap bibir comel itu.
Aku pilu sekali mengenang nasib kami yang baru kehilangan mama, tempat kami bermanja selama ini. Tapi… adikku Jaja lebih kesihan. Dia terlalu rapat dengan mama kerana dia satu-satunya puteri kami. Sejak peninggalan arwah mama, aku berjanji akan menyayangi Jaja sepenuh hatiku, aku akan menjaga Jaja dari sebarang ancaman. Aku akan menolong ayah membesarkannya.
“ Abang Mizan…Jaja nak kahwin!” aku tersentak mendengar kata-kata Jaja. Tidak tertelan rasa roti yang aku makan. Jaja memang aku bawa tinggal bersamaku di rumah dua tingkat yang aku beli itu. Abang Sham sudah berkeluarga dan Zulhelmi duduk menyewa bersama kawan-kawan di kota. Ayah pula… hampir 4 tahun yang lalu menuruti mama menemui Ilahi.
“ Hei… betul ke ni Jaja? Jaja kan masih kecil.” Ujarku antara percaya atau tidak. Aku lihat Jaja ketawa geli hati.
“ Abang je yang rasa Jaja ni masih budak kecil. Jaja dah berumur 24 tahunlah bang.. abang tu.. umur dah lanjut. Tak kahwin-kahwin jugak.” Sekali lagi aku tersentak mendengar celoteh Jaja. Aku tersenyum sendiri. Betapa aku tidak sedar, adikku ini sudah membesar dan menjadi seoarang gadis yang cantik manis. Aku rasa… Jaja adikku ini adalah gadis yang paling cantik yang pernah aku lihat, wajahnya persis wajah arwah mama. Kata-kata Jaja mengingatkan aku kepada umur aku sendiri, tidak sedar aku telah berusia 31 tahun.
“ Betul ke apa yang Jaja cakap ni? Betul Jaja nak kahwin?” tanyaku serius. Aku sangat risaukan dia. Aku tidak mahu dia membuat pilihan yang salah. Aku paling takut hatinya terluka. Aku tidak mahu melihat dia terluka walaupun sedikitpun.
“ Betul bang…” jawabnya dengan wajah yang merona kemerahan.
“ Siapa lelaki tu?” tanyaku pantas.
“ Azman… kami kenal sejak di kampus lagi bang.. bang… sekarang dia bekerja sebagai Jurutera di Syarikat kita.” Jelas Jaja. Aku nampak dia ragu-ragu memberitahuku, mungkin dia takut aku tidak suka dan terus membuang Azman dari syarikat kami. Aku cuba mengingati wajah Azman. Setahuku… Azman yang aku kenal seorang yang pendiam dan bersungguh-sungguh dalam kerja. Bagaimana jejaka pendiam seperti Azman dapat memikat adikku yang nakal itu? aku tersenyum sendiri.
“ Abang..” aku sedikit terkejut mendengar sapaan itu.
“ Abang setuju ke tak?” Tanya Jaja lambat-lambat. Aku sengaja mendiamkan diri sengaja menguji Jaja.
“ Abang.. Jaja sayangkan Azman, bang..” hatiku sedikit terusik mendengar luahannya. Aku sedikit cemburu kerana aku akan berkongsi adik kesayanganku dengan lelaki lain.
“ Jaja sayangkan dia lebih dari Jaja sayang abang?” tanyaku sekadar menguji. Aku lihat Jaja mengetap bibir. Tiba-tiba air matanya mengalir perlahan di pipi gebunya. Aku pantas menyeka air jernih itu. Aku tidak sanggup melihat air mata menodai pipinya.
“ Abang…tidak ada seorang pun dapat tandingi sayang abang di hati Jaja. Kalau abang tak suka Azman jadi suami Jaja, Jaja akan tolak lamaran dia. Biar apapun yang terjadi, abang tetap nombor satu dalam hati Jaja.” Luahnya menahan sebak, aku juga berkongsi perasaan yang sama.
“ Adik abang sudah besar…abang izinkan Jaja kahwin dengan dia. Dengan syarat…” aku terhenti seketika.
“ Apa bang?” Tanya Jaja, aku tahu dia berdebar-debar. Aku hanya tersenyum.
“ Jaja dengan Azman mesti duduk dengan abang dalam rumah ni.” Putusku. Jaja melepaskan nafas lega dan tersenyum. Dia memelukku, aku kucup ubun-ubunnya dengan setulus kasih seorang abang.
“ Abang pun… kahwinlah jugak. Abang tu…sepatutnya dah ada anak dua tiga orang tau. Abang kahwin sama dengan hari kahwin Jaja ye…” aku tertawa mendengar omelannya.
“ Abang kan dah ada anak… Jaja nikan anak sulong abang… dari kecil lagi abang yang besarkan Jaja.” Jaja pula tergelak.
“ Yelah tu… Jaja ni anak abang….anak sulong abang.. tapi Jaja nak adik-adik.. Jaja tak ada adik..” ucapnya nakal. Aku menghadiahkan cubitan kecil di pipinya.
“ Abang nak kahwin dengan siapa?” tanyaku pura-pura tidak punya calon.
“ Alah.. macamlah orang tak tau..dia tengah dok asyik masyuk bercinta dengan kak Azah kat pejabat tu… abang kahwin ye…” Pujuk Jaja dengan nada manja. Dia memang manja.
“ Hmmm…. Abang akan kahwin. Tapi….selepas setengah tahun Jaja kahwin.” Balasku. Jaja melompat keriangan, seronok benar dia mendengar persetujuanku.
“ Eh! Macam ni ke rupa orang dah nak kahwin? Perangai macam budak-budak lagi.” Wajah Jaja merona kemerahan mendengar usikanku.
“ Abang ni…” ucapnya manja, sambil merebahkan kepalanya ke pangkuanku. Aku usap rambutnya penuh kasih sayang, macam usapan seorang ayah kepada anak tersayang. Tanpa dia sendiri sedari, aku sudah menganggapnya seperti anakku sendiri.
Tidak dapat aku gambarkan perasaanku ketika melihat adikku tersenyum bahagia di atas pelamin. Wajahnya yang sememangnya cantik mengundang pujian dari tetamu yang hadir, ditambah lagi wajah kacak satu-satunya adik ipar lelakiku. Mereka laksana raja dan permaisuri yang sedang bersemayam di singgahsana.
Aku menahan sebak melihat Jaja adikku di atas pelamin. Ketika aku bersalaman dengannya, Jaja memelukku erat sambil teresak kecil. Aku pujuk dirinya agar tidak bersedih kerana aku tetap sayangkannya, walaupun dia milik lelaki lain.
Aku berkahwin jugak dengan Azah, gadis yang aku cintai. Walaupun tidak semekar kasihku terhadap adikku Jaja. Ketika itu Jaja sudah berbadan dua. Bukan main gembira aku ketika mendapat perkahabaran yang Jaja adikku sudah berbadan dua, kalah Azman. Aku pulak yang menjerit sakan. Jaja hanya tersenyum manis melihat kegembiraanku di samping suaminya. Aku begitu gembira apabila mendapat tahu aku akan menjadi pak cik kepada anak Jaja. Anak-anaknya nanti akan memanggilku ayah. Aku nak anak dia nanti menganggapku seperti ayah sendiri.
Aku tahu… Azah agak terabai ketika itu kerana aku melebihkan perhatian kepada adikku. Bukan aku sengaja melebihkan Jaja, tapi…dalam keadaan Jaja berbadan dua, Jaja perlukan perhatian. Azman seorang tidak akan mampu kerana Jaja mengalami alahan yang teruk ketika mengandung. Jaja tidak lagi dapat ke pejabat kerana rasa pening dan loya. Aku kesihan melihat adikku, Azmanpun aku tengok semakin kerap menemani Jaja.
Aku harap Azah faham keadaanku. Aku amat bimbangkan adikku Jaja. Lagipun..dari awal lagi aku sudah berterus terang kepada Azah yang aku lebih menyayangi Jaja lebih dari segala-galanya. Pada mulanya Azah nampak bertolak ansur denganku, Cuma sejak akhir-akhir ini dia mula merungut dan sesekali aku dapat mengesan cebikan di bibirnya melihat aku melebihkan Jaja.
“ Kenapa kakak tolak Jaja?” aku terdengar suara nyaring Azman ketika baru memulas tombol pintu rumah. Aku terkejut sekali. Seingatku tidak pernah Azman bersuara nyaring begitu.
“ Kerana dia abang Mizan sisihkan aku. Aku memang tak sukakan Jaja..” tersentap hatiku mendengar kata-kata panas yang keluar dari mulut isteriku sendiri. Tidakku sangka selama ini dia menyimpan dendam terhadap adikku.
Tiba-tiba aku terdengar suara halus mengerang kesakitan.
“ Abang…” bergegar lututku mendengar suara itu. Jaja! Spontan aku melangkah pantas ke ruang tamu. Aku terkejut melihat Jaja tebaring di dalam pangkuan Azman. Aku berlari pantas mendapatkan mereka.
“ Kenapa ni Azman?” tanyaku panic.
“ Abang Mizan….” Jaja memanggilku lemah. Aku tambah panic melihat darah mengalir di betis adikku, Azman pun nampak cemas.
“ Kita bawa Jaja ke hospital..” aku berteriak kecil. Azman segera mengendong tubuh kecil adikku. Aku duduk di tempat duduk belakang sambil memangku kepala adikku. Aku menangis melihat keadaannya yang kesakitan. Selama ini aku tidak pernah membiarkan dia kesakitan, tetapi sekarang….
“ Siapa buat Jaja macam ni Man?” tanyaku. Azman yang sedang memandu teresak kecil melihat Jaja. Aku tahu Azman sangat sayangkan Jaja.
“ Kak Azah bang…dia tolak Jaja dari tangga..” membara hatiku mendengar pernyataan itu.
“ Perempuan sial…” marahku. Kalau diikutkan hati, sekarang jugak aku hendak membunuh Azah kerana menyakiti adikku.
“ Bang Mizan…. Tolong jaga anak Jaja bang… tolong bang…” aku terkejut mendengar kata-kata adikku.
“ Apa Jaja cakapkan ni… nanti kita jaga sama-sama…” ucapku menahan rasa. Air mataku usah dikira lebatnya.
“ Bang…tolong bang…” pohon adikku. Aku hanya angguk. Azman tersedu-sedu di depan. Tidak ketentuan kelajuan kereta yang dipandunya.
“ Jaja sayangkan bang Mizan,.. sangat sayang… bang Man… Jaja cintakan abang…” ucap Jaja. Aku dan Azman tidak segan silu menangis. Azman menoleh ke belakang memandang isterinya di pengkuanku.
“ Abang cintakan Jaja..” ucap Azman.
“ Man…. Kat depan tu….” Teriakku apabila melihat lori balak begitu hampir dengan kereta kami. Azman cuba mengawal stereng. Kereta yang kami naiki tidak tentu arah… aku cemas di belakang.
“ Ya Allah…” aku sempat menangkap suara Jaja berbisik halus. Selepas itu aku merasa kesakitan yang amat sangat di kepalaku sebelum pandanganku gelap.
Sebaik tersedar aku terus teringatkan Jaja dan Azman. Aku cuba bangun walaupun kesakitan mengusai kepalaku.
“ En. Mizan tak boleh bangun dulu.” Ucap satu suara di sebelah kananku. Aku tahu, dia jururawat yang bertugas mengawasiku.
“ Saya nak jumpa adik saya.” Tegasku.
“ Adik encik dalam bilik ICU..” terangnya.
“ Saya nak jumpa dia…” tegasku lagi. Walau apapun yang terjadi aku mahu menemani Jaja. Aku mahu Jaja rasa selamat di sebelahku. Aku tidak mahu lain, aku hanya mahukan adikku. Aku akan lindungi dia.
“ Nurse… bawa pesakit ni ke bilik sebelah..” arah seorang doctor yang baru muncul di depan pintu. Jururawat itu membantu aku duduk di kerusi roda yang disediakan.
“ Azman….” Bergetar suaraku menyebut nama adik iparku itu. dia nampak teruk sekali. Aku toleh ke arah wajah doctor yang merawat Azman, dia menggeleng kepadaku. Aku tahu, Azman diberi peluang untuk bercakap untuk kali yang terakhir. Doctor itu dan beberapa jururawat di situ meninggalkan kami.
“ Man….” Aku memanggil namanya perlahan. Azman berusaha membuka matanya. Setitik dua air mataku mengalir melihat keadaan adik iparku itu. Tidak salah Jaja memilihnya menjadi suami.
“ Bang Mizan.. tolong jaga anak kami bang… tolong ye bang…” pohonnya. Aku angguk kepala. Walaupun Azman tidak meminta begitupun aku akan menjaga anak itu.
“ Abang mesti janji..” ucap Azman lagi.
“ Abang Janji Man..” balasku. Azman tersenyum senang. Aku panic melihat reaksi wajahnya.
“ Man…mengucap Man….” Bisikku ke telinganya. Aku membisikkan dua kalimah syahadah ke telinganya. Aku lihat bibirnya mengikut setiap bisikan syahadah itu. Selepas itu dadanya tidak lagi berombak. Aku terduduk di situ. Aku berteriak memanggil doctor dan jururawat di situ. Azman telah pergi… bagaimana dengan adikku?
“ Adik saya nurse?” aku bertanya kepada jururawat yang menyorongku ke bilik Azman sebentar tadi.
“ Maaf cik…. Adik cik dah tak ada…” balasnya perlahan. Aku menjerit di situ. Hatiku bagai dihiris halus. Kenapa satu persatu orang kesayanganku meninggalkan aku? Sukar untuk aku menerima hakikat itu.
“ Kami hanya berjaya menyelamatkan anak-anaknya..” sapa satu suara. Aku mendongak memandang pemilik suara itu.
“ Anak-anak?” tanyaku terkejut.
“ Hmmm..anak-anak mereka. Adik encik sempat melahirkan sepasang anak kembar lelaki dan perempuan sebelum meninggal.” Jelas doctor itu lagi.
Aku meluru tanpa mempedulikan kesakitan di kakiku ke arah bilik yang menempatkan anak- anak adikku. Aku pandang wajah-wajah anak yang telah menjadi yatim piatu itu. Aku berjanji kepada diriku sendiri yang aku akan melindungi mereka seperti aku melindungi arwah ibu mereka sebelum ini.
“ Ayah… cepatlah… kita dah lambat ni..” jeritan halus Jaja menghilangkan lamunanku. Aku kesat air mata yang mengalir di pipi, aku malu kalau anak-anakku nampak nanti.
“ Kenapa anak ayah ni jerit-jerit.. orang perempuan tak elok jerit-jerit tau.” Nasihatku sambil menarik anak gadisku yang berusia 6 tahun itu ke dalam pelukanku.
“ Ayah cakap kita nak ziarah kubur arwah ibu dengan arwah abah… kita dah lewat ni…” celah pulak Jiji. Anak bujangku itu menarik muncung, aku tersenyum kepada anak-anakku itu. kedua-duanya aku dakap. Anak-anak kecil yang seiras wajah arwah Jaja dan arwah Azman itu petah berkata.
“ Ayah minta maaflah sayang…. ayah teringatkan arwah ibu dengan arwah abah… jaja dengan Jiji..” kedua-dua anakku terdiam. Aku dapat mengesan kerinduan di mata mereka. Rindu kepada arwah ibu dan arwah abah mereka yang tidak sempat memberikan kasih sayang kepada mereka. Aku menahan pilu. Anak-anakku Aziman dan Amiza anak-anak yang baik. Jarang sekali mereka membuat perangai.
“ Ayah… kami nak dapat adik ye…” Tanya Jaja. Aku angguk perlahan, mungkin dia teringatkan mamanya sekarang yang sedang sarat mengandung.
“ Tentu ayah dah tak sayang kami lagi.” Jiji pulak bersuara. Aku mendakap mereka erat. Tentu mereka akan merasa kehilangan kasih sayangku.
“ Jaja dengan Jijikan anak ayah dengan mama.. takkan ayah dengan mama tak sayang Jaja dengan Jiji…” sapa suara lembut isteriku. Aku berpaling kepadanya. Selepas bercerai dengan Azah, aku berkahwin dengan Maisarah. Adik kepada arwah Azman. Dia jugak sayangkan Jaja dan Jiji seperti anak kami sendiri.
“ Betul cakap mama tu…. Biar apa pun terjadi…ayah dengan mama sangat sayangkan Jiji dengan Jaja. Jaja dengan Jiji anak kami.” Ucapku meyakinkan mereka. Kedua-dua anakku mendakapku erat.
“ Jomlah… yah..kita pergi sekarang…” ajak Jiji sambil menarik tanganku.
“ Tak nak salam dengan mama dulu?” kedua-dua anakku berlari kea rah isteriku. Selepas menerima kucupan mereka,mereka kembali ke arahku.
Isteriku menghampiri kami perlahan-lahan. Aku tahu, kalau diikutkan hati dia ingin turut sama dengan kami. Tapi…keadaannya yang sedang sarat membataskan pergerakannya.
“ Jaga diri baik-baik ye bang..jaga anak-anak kita..” pesan isteriku. Aku tersenyum kepadanya.
“ Mai pun… jaga diri. Jaga baby baik-baik…kalau ada apa-apa, cepat-cepat call abang dan panggil mak Tam”pesanku sambil menghadiahkan kucupan di dahi isteri tercinta.
Aku melemparkan pandangan sekali lagi ke pusara adik kesayanganku. Semoga dirimu dan Azman berbahagia bersemadi di Sana. Semoga kamu berdua di tempatkan di kalangan muslimin dan muslimah yang soleh..


Note: Salam.. ni antara cerpen2 lama lc. cerpen berkurun kot. 

4 comments:

  1. sedih pulak cerpen dia..selalu cerpen lc ni sweet and kelakar..hihi...bestlah...nak lagi...nak lagi...
    blog ni cantiklah...harmoni je rasa...

    ReplyDelete
  2. Tq... citer ni citer lama. sblm ni, citer2 akak mmg byk yg leleh2 je. :)

    ReplyDelete
  3. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete