Friday, November 28, 2014

Maaf jikaku tak sempurna..

Ingin aku tegaskan, aku ni bukan jenis orang jiwang.. kadang2 geli gak anak tekak kalo tbaca karya sndiri yg termasuk zon jiwang ni. Sorry sangat2 la pd geng2 dlm blog ni, yg dok tunggu cerpen/novel terbaru dr aku. Masalahnya… ada ke yg tunggu? Hahaha… xpelah… aku anggap ada yg tunggu je lah… untuk sedapkan hati sendiri.

Maaf jika aku tak dapat nak hasilkan cerpen/novel yg best. Itulah tajuk, awal2 aku ltk maaf jikaku tak sempurna, walopun tajuk tu tak sama dengan isi yg akan aku lalutkan lps ni. Aku bukan apa, bagi aku dalam menghasilkn citer tu, tak ada paksaan atau desakan. Kalo ada idea & kerajinan yang jitu, Alhamdulillah… kalo xde idea pun, Alhamdulillah. Sbb DIA tahu, ada benda lain yg lebih memerlukan perhatian aku dr dok menghadap computer menaip cerita.

Cerpen terbaru, memang belum ada perancangan pun… novel? Adalah satu manuskrip yang aku tengah buat ni, tak tau nak cakap berapa per cent , sbb aku sendiri pun x tau berapa muka surat nak buat. Tp mungkin sudah 40%. Kuang, kuang, kuang…  novel ni aku dah taip banyak muka surat. Dah cecah ratus muka surat, tapi belum ada tajuk. Nanti2 lah fikir kalau dah siap nak letak tajuk apa.

Novel suami tangkap muat, memang ikutkan hati memang malu nak cerita. Hari tu aku dah htr untuk buat penilaian. Tp, novel ni belum mencapai tahap piawaian yg mereka nak. Terdapat kekurangan di sana sini yang perlu aku perbaiki. Terima kasih kepada panel penilai krn komen2 anda sangat2 membantu aku dlm memperbaiki karya2 aku seterusnya. Sbb tu lah aku malu nak letak kat dalam blog ni.

Usaha & doa yang seiring, mesti menghasilkan hasil. Moga2 lps ni de ilham & kerajinan nak buat citer. Idea & jln citer tu memang ada dlm kepala, tapi… kerajinan tu yg tiada. Tambah2 dah hujung thn ni, berapa je masa aku yg ada dok dlm ofis menghadap computer & curi2 ms rehat wat citer. Selalunya kat luar, jenguk site. Ni… dah makin itam dah aku… lps ni msti sibuk nak cari produk utk putih kembali. Masalahnya…. Bila masa aku pernah putih? Wah… selalu melalut. Semoga lps ni, aku akn menghasilkn novel/cerpen yg baru. Tolong doa2kan k. mana tau.. berkat doa korang… Aku tahu, tajuk post ni mcm x kena dgn isi yg aku dok merapu ni. Aku peduli apa, blog aku. 

Semoga kita semua baik2 saja & sentiasa hidup aman bahagia.

Wednesday, April 30, 2014

Abang Bukan Pondan



Ketika aku mengambil keputusan untuk menerima lamaran abang, ramai yang menentang. Mereka cakap... abang tak layak untuk aku. Abang tak mampu lindungi aku. Abang takkan mampu membahagiakan aku. Mereka cakap.. mereka cakap... abang pondan.

Abang pondan? Soalan itu sentiasa berlegar menghantui fikiran aku. Abang yang aku kenal... lemah lembut. Ya... dulu…memanglah dia terlebih feminin. Tapi, dia dah berubah. Dia dah tukar imej rambut panjang dia. Cuma…  mungkin cara berjalan dia yang kekal lembut sehingga digelar pondan. Tapi, dia baik. Dia faham perasaan aku. Dia ambil berat tentang aku. Dia kawan aku. Dia sahabat aku. Dialah orang yang paling mengenali aku. Abang memang lembut. Tapi... dia bukan pondan.

“Kau langkah mayat aku dulu sebelum kau kahwin dengan dia. Apa kau pandang kat dia? Kacak? Hei... aku boleh cari yang lebih kacak dari dia.” Bentak along.

Aku terdiam sambil memandang wajah emak. Hanya emak yang menerima keputusan aku dengan hati terbuka. Mak cakap, dia tidak memandang abang dari luaran. Tapi... dia memandang dari sudut peribadi lelaki itu. Ya... aku sependapat dengan emak. Abang tidak seperti lelaki lain. Dia istimewa. Sangat istimewa.

“Along... siapa yang nak kahwin sekarang? Kau ke adik?” Bidas emak.

“Ya mak... memang adik yang nak kahwin. Tapi mak... cuba mak fikir, mana kita nak letak muka kalau adik jadi dengan si pondan tu.” Emak mengucap panjang mendengar ucapan along. Aku apatah lagi. Rasa nak menitis air mataku mendengar along menghina abang.

“Siapa ajar kau menghina orang ni long? Siapa ajar? Dia baik long.” Emak masih membela abang.

“Mak... betul apa along cakap tu mak. Nanti... orang akan pandang serong pada adik dan keluarga kita. Mereka akan cakap adik macam terdesak sangat sampaikan sanggup kahwin dengan pondan.” Celah angah. Sekali lagi emak mengucap panjang. Aku hanya memerhati dan mendengar mereka bertingkah.

“Mak sedih tau.. dengar semua ni dari mulut anak-anak mak. Mak rasa mak dah gagal mendidik korang.” Luah emak nampak kesal.

 Along dan angah cepat-cepat meluru dan melutut memeluk kaki emak. Mereka teresak kecil.

“Ampunkan kami mak. Kami tak bermaksud nak buat mak sedih.” Pohon along.

“Ya mak. Jangan sedih mak... jangan buat kami jadi anak derhaka.” Ucap pulak angah dengan esakan kecil. Emak melabuhkan punggung ke sofa. Along dan angah masih mendongak menunggu kata maaf dari emak. Tapi, emak hanya diam. Along dan angah berbalas pandang.

“Mak... ampunkan kami. Kami janji takkan menentang keputusan adik nak kahwin dengan lelaki tu. Mak... kami ikut je. Janji mak tak sedih. Kami ikut je mak.” Esak along.

Emak memegang bahu along dan angah. Dia menarik along dan angah ke dalam pelukan. Menggogoi along dan angah menangis di bahu emak. Aku turut menumpahkan air mata.

“Dia baik long.. angah... mak yakin dia boleh bahagiakan adik.”ucap emak. Keyakinan emak adalah semangat aku meneruskan keputusan aku menerima abang. Abang.. Dura sayang abang

****

“Terima kasih sayang... terima kasih kerana sudi terima abang. I love you.” Bisik abang di telingaku.

Aku tersenyum bahagia mendengar ucapannya. Ucapan lelaki yang baru sejam lalu menjadi suamiku. Akhirnya… jodoh aku dan abang diikat dengan ijab dan Kabul. Berwalikan along yang pada mulanya menentang.

Aku tahu… separuh hatinya tidak rela aku bersuamikan abang. Aku akan buktikan yang abang memang pilihan terbaik untuk aku. Dia suami yang akan membimbing aku ke jalan yang diredhai. InsyaALLAH..

“Kenapa diam hmm?” soalnya.

Wajahku masih panas melihat senyuman manis dia. Betapa kacaknya dia dalam persalinan baju melayu putih. Aku tidak peduli dengan pandangan ahli keluargaku. Tidak peduli dengan bisik-bisik kawan-kawanku. Janji aku tahu, hanya abang pilihan terbaik untuk aku. Abang dah banyak berkorban untuk aku.

“Hmm… thanks abang, thanks sebab sudi jadi suami Dura.” Ucapku perlahan. Abang mencapai tanganku lembut dan dikucup perlahan.

“Kita ucap terima kasih.. dia pun ikut sama. Apa-apa je lah isteri Sauqi ni…” usiknya dengan gelak kecil. Aku turut tergelak sama. Sempat aku hadiahkan cubitan kecil di lengannya.

“Aww.. ops…” dia menutup mulutnya. Dia mengaduh sakit.

Aku hanya senyum meleret. Kalau spontan macam ni, memang keluarlah gaya lembut dia tu. Aku sudah terbiasa begitu. Dia tu je ha.. nak control macholah kononnya. Macholah sangat.

“Abang tak payah control macho lah bang… Dura tak kisah pun. Walau macam mana pun abang… Dura tetap sayang dan cinta abang sorang je.. Dura..” Aku terdiam sambil menutup mulut. Aduh... terlepas cakap la pulak. Dia sengih lebar.

“Wah.. bestnyer dengar isteri abang ni lafazkan kata cinta. Abang sayang dan cinta Dura kuasa dualah kalau macam ni.” Usiknya mencuit daguku. Wajahku rasa panas je. Abang ni…

“Esok majlis sanding kita. Hmm… abang kena gerak sekarang sayang. Pak Su dan Mak Su dah tunggu tu.” Ucapnya.

Hatiku berat melepaskan dia walaupun esok kami akan berjumpa lagi. Rasa tidak puas berbual dengan lelaki yang telah mengangkat darjatku menjadi isterinya.

“Hmm.. okeylah bang. Drive carefully. Dura sayang abang.” Ucapku sambil mencapai tangannya. Tangan lelaki itu aku kucup lembut. Ketika aku mengangkat kepala memandangnya. Dia mengucup dahiku syahdu. Alah… indahnya saat ini.

***

“Qiqi… jomlah lepak… malam ni Rizky ada lumba kereta. Dia nak I tengok sekali.”

Qiqi diam saja bila aku ajak dia menonton Rizky berlumba kereta malam ni. Biasanya, dia akan mengekori aku ke mana saja. Dia tu… dah macam bayang-bayang aku. Cuma kalau keluar makan je aku berdua dengan Rizky. Rizky memang anti sangat dengan si Qiqi ni. Tapi.. ada aku kisah?

“Qiqi..” Rengekku melihat Qiqi masih membelek failnya. Entah ia ke tidak sibuk buat assignment. Entah-entah buat-buat sibuk.

“Qiqi..” Bentakku.

“Ha… Nape perempuan? Dari tadi memekik. Aku busylah. Kau tak payah tengoklah malam ni. Stay dengan aku je. Tolong aku buat assignment kita ni.” Balasnya.

Aku mencebik. Sejak couple dengan Rizky. Baru aku merasa apa itu kebebasan sebenar. Sejak aku kecil lagi aku dikongkong oleh emakku termasuk abang-abang. Itu tak boleh, ini tak boleh, sebab itu peluang duduk di kampus ni aku gunakan sebaik mungkin.

“Kau ni Qiqi.. tak boleh harap. Tak pe… kalau kau tak nak ikut aku… aku pergi berdua je dengan Rizky.” Ugutku. Qiqi mengerutkan dahi.

“Kau jangan Dura… Rizky tu tak sebaik yang kau sangka..” keras aje suara Qiqi memberi amaran.

“Alah... kau je yang fikir macam tu. Dia okey apa. Selama ni, dia okey je. Tak apalah, kalau kau tak nak ikut. Aku pergi dengan dia je.” Ucapku. Aku yakin dia takkan lepaskan aku pergi berdua dengan Rizky. Entah apa yang dia takutkan sangat. Rizky tu baik apa. Cuma, yelah… suka berlumba je.

***

Melihat je Qiqi disebelah aku, mulalah si Rizky ni tarik muka. Anti sangat dengan si Qiqi ni. Aku ingat lagi pertama kali kami keluar bersama, dia memang perli habis.

‘Eh! Tak sangka dia ni pakej sekali dengan awak ye.’ Ayat pedas yang aku akan ingat sampai bila-bila.

“Betul ke awak nak lumba malam ni? Kan ni kawasan diaorang. Awak jangan bual hal wak…” Aku menyuarakan kerisauan aku. Hatiku cuak melihat gelagat orang ramai disitu. Terasa menyesal pulak setuju dengan ajakan Rizky semalam.

“Relax k. Ini Rizkylah… awak duduk diam-diam dengan ‘kembar’ awak tu.. saya nak jumpa Ray jab.” Rizky berlalu. Aku melangkah ke arah Qiqi. Muka Qiqi cemas semacam je.

“Kau tak risau ke Dura? Lain macam je aku tengok diaorang ni. Ni first time kan Riz lawan dengan Ray tu? Kau tengok tu… sekejab-sekejab diaorang pandang sini. Seram mak..” luah Qiqi.

Aku hanya jongket bahu, pura-pura tenang. Aku tidak kenal sangat kawan-kawan si Rizky ni. Dia ni… banyak member. Hanya dua tiga orang je aku kenal muka.

“Okey..diaorang nak start dah tu… jom pergi ke depan tu.” Qiqi menarik tanganku, mengajakku bangkit. Aku mengekori langkahnya. Entah kenapa, hatiku berdebar semacam. Rasa tak sedap hati.

***

“Kau nak ke mana hah? Malam ni, kau jadi milik aku.” Pekik suara lelaki dari belakang kami. Aku tidak tahu ke mana kakiku melangkah. Aku sudah penat berlari diheret Qiqi masuk ke kawasan semak di tepi jalan. Aku tidak sangka Rizky sanggup buat aku macam ni. Aku dijadikan taruhan untuk perlumbaan malam ini. Nasib baik Qiqi sempat menarikku lari. Tapi… mereka masih mengejar kami.

“Qiqi.. aku penat.” Nafasku rasa semput. Qiqi menarikku ke belukar yang agak tinggi. Tanganku calar bilar terkena ranting kayu. Kaki aku apatah lagi. Luka-luka dah terasa pedihnya.

“Dura… kau kena kuat. Jangan mengalah. Nanti kau jadi mangsa. Kau sembunyi sini. Nanti aku alihkan perhatian diaorang.” Bisik Qiqi.
Aku terpana melihat Qiqi. Macam mana dengan dia?

“Jangan Qiqi… kita sama-sama sembunyi kat sini. Aku tak nak kau jadi mangsa.” Esakku.

“Syus.. Jangan nangis. Jangan bising. Nanti diaorang tau kita kat sini.” Pujuk Qiqi.

Aku menyebam wajahku ke dadanya menahan tangis. Buat pertama kali, aku berasa selamat di sisinya. Dia memeluk bahuku, menenangkan aku.

“Jangan tinggalkan aku Qiqi… aku takut.” Esakku.

Qiqi mengusap lembut kepalaku.

“Aku takkan tinggalkan kau.”

“Janji?”

“Janji. Aku takkan tinggalkan kau. Selagi aku ada.. aku takkan biarkan mereka apa-apakan kau. Kau duduk sini diam-diam. Walau apapun berlaku… jangan keluar sehingga mereka jauh dari sini. Janji dengan aku.” Tegasnya menikam pandangan ke anak mataku.

“Tapi.. kau..”

“ Janji dengan aku Dura. Janji dengan aku, kau takkan keluar dari sini walau apapun yang berlaku.” Qiqi menggengam erat tanganku.

Aku hanya mampu mengangguk dengan esakan yang tertahan. Qiqi

***

“Qiqi...” Sedaya upaya aku merangkak menghampiri tubuhnya yang sudah terbaring berlumuran darah.

“Qiqi..” panggilku. Tapi… tiada sahutan.

Tubuh kaku itu aku tarik ke dalam pelukan. Aku tidak peduli lagi. Biarlah samseng-samseng kurang ajar itu kembali ke situ menangkap aku untuk memuaskan nafsu binatang mereka. Aku tidak peduli. Aku mahu Qiqi bangun. Aku mahu Qiqi selamat.

“Kau jahat Qiqi.. kau janji takkan tinggalkan aku. Tapi… sekarang kau nak tinggalkan aku. Aku takut Qiqi… aku takut…” Aku rasa hendak meraung. Dadanya aku pukul. Tiba-tiba badan itu bergerak sedikit. Hatiku berbunga harapan. Kepalanya aku pangku.

“Qiqi..” Panggilku.

“Dura… kenapa kau keluar?” Tanya dengan suara lemah.

“Aku tak sanggup kehilangan kau Qiqi. Qiqi… aku takut kehilangan kau.” Tangisku di dadanya. Qiqi mengengam erat tanganku.

“Sakit Dura.. sakit.” Aku mengangkat kepalaku dari dadanya. Tanganku bergetar melihat darah membuak dari dadanya.

“Apa patut aku buat Qiqi?” aku panic melihat wajahnya berkerut menahan kesakitan.

“Call Amin. Handphone aku kat dalam poket aku.” Ucapnya dengan suara yang main lemah.

“Qiqi..” Aku menyeluk poket seluar Qiqi. Mencari handphone dia. Handphone aku entah ke mana hilang.

“Hello.. Sauqi..” Sahut suara itu.

“Amin.. tolong kami.. Qiqi kena tikam. Tolong Amin…” esakku.

“Korang kat mana?” suara itu cemas.

***

Nasib baik Amin sempat menghubungi polis dan ambulance datang ke situ. Kami dibawa ke hospital tidak jauh dari situ. Qiqi dibawa ke wad kecemasan. Luka di dadanya agak dalam. Badannya penuh dengan lebam akibat dipukul oleh Ray dan kawan-kawannya. Mereka telah di tangkap sehari kemudian. Cuma Rizky dapat melarikan diri. Tembelang Rizky juga sudah pecah. Rupa-rupanya dia bukan student tempat kami belajar. Dia menyamar jadi pelajar hanya untuk mengorat gadis-gadis sepertiku. Syukur juga aku terselamat dari menjadi mangsa dia.
Emak datang dari kampung hanya mampu tergeleng. Nasib baik along kat Dubai. Dia outstation enam bulan kat sana. Angah pulak bertugas di Sarawak. Kalau tidak... memang teruk aku kena dengan diaorang. Mak pun tak kasi bagitau diaorang.

Tapi… Qiqi belum sedar. Menurut doctor, dia masih koma. Aku hanya mampu menangis dengan rasa bersalah yang amat. Pak Su dan Mak Su Qiqi dari kampung datang sebaik dikhabarkan berita itu.

Nasib baik mereka tidak menyalahkan aku dengan apa yang berlaku. Aku janji aku akan jaga Qiqi. Ketika dia masih koma, aku dan Mak Su bergilir menunggu di luar bilik ICU. Ketika kami exam. Dua minggu aku tidak dapat ke hospital. Mujur Mak Su faham.

Habis je exam terakhir, aku bergegas ke hospital. Aku mencari Qiqi di bilik ICU. Tapi, Qiqi tiada di situ. Menurut petugas di situ, Qiqi sudah dipindahkan  ke wad biasa dua hari yang lalu. Mungkin Mak Su tak sempat beritahu aku. Maklumlah, aku exam. Tak nak mengganggu kot.

Aku memulas pintu wad dengan hati-hati. Bimbang penghuni di situ terganggu. Mak Su tengah berbual dengan pesakit lain. Aku melangkah ke arah Mak Su. Sebaik tiba di depan Mak Su, aku menghulurkan tangan bersalaman dan mengucup tangan orang tua itu.

“Dura minta maaf lama tak datang. Dura baru habis exam tadi. Mana Qiqi mak Su?” Tanyaku.

Aku buat tidak nampak bila pesakit di sebelah mak Su memandangku. Entah apa yang dia pandang. Mungkin… dia hairan melihat wajah pucat aku dengan mata kuyu. Mungkin dia ingat aku ni zombie kampong pisang kot. Dua minggu ni tak cukup tidur, study. Kesihan Qiqi, dia tak dapat nak ambil exam. Nasib baik Ketua Program cakap, Qiqi boleh ambil exam berasingan lepas keluar hospital.

“Dura tak kenal Qiqi lagi?” Tanya Mak Su. Aku mengerutkan kening.

“Eh.. takkan tak kenal. Mana dia Mak Su? Dia jumpa doctor ye? Dia sihat kan?” Tanyaku kehairanan.

“Dura..” Panggil suara lelaki itu. Aku mengerutkan dahi dan pantas menoleh ke arah lelaki yang dari tadi memandangku.

“Qi…qi..?” Suaraku tersekat-sekat. Lelaki itu menarik senyum. Senyum itu… ya.. senyuman Qiqi… tiba-tiba tawaku meletus. Wajah Qiqi dan Mak Su serentak berkerut. Berair mataku ketawa.

“Kenapa kau gelak?”

“Kau hensem sangat macam ni Qiqi… nyaris-nyaris aku nak jatuh cinta tadi.” Gurauku dengan sisa gelak. Terasa lucu pulak tengok dia macam tu. Mak Su dan Qiqi turut tergelak sama.

“Kalau betul-betul jatuh cinta pun tak apa…” Usik Mak Su. Dia meminta diri dari situ memberi ruang dan peluang kami berdua berbual. Aku rasa kekok pulak berbual dengan dia dengan rambut yang pendek. Malu mak…

“Kenapa kau macam malu-malu je dengan aku?” Tanya Qiqi. Aku cuba buat-buat biasa. Tapi… boleh ke? Huhuhu. Hiys.... macam lain je.

“Rasa pelik.”

“Hah? Pelik? Pelik yang macam mana?” Tanyanya. Dia masih merenungku membuatkan aku tertunduk. Adoiyai… kenapa tiba-tiba aku rasa malu-malu miaw pulak ni?

“Selama ni… tengok kau dengan rambut ayu kau. Hehehe…” Aku gelak lagi. Qiqi turut tergelak sama.

“Aku rasa… sampai masanya aku berubah. Bila pisau tu terpacak kat dada aku.. aku rasa ajal aku dah dekat. Aku takut tak sempat nak taubat. Tapi... lepas tu kau datang. Aku rasa Tuhan masih bagi aku peluang untuk hidup. DIA bagi peluang untuk aku jaga kau. Aku nak berubah Dura. Aku tak nak jadi Qiqi lagi.“ Tegas Qiqi.

“Habis… aku nak panggil kau apa? Qiqi ke.. Sauqi?” Tanyaku.

“Panggil apa-apa je lah. Tapi… aku suka kau panggil aku abang. Aku kan tua setahun dari kau.” Ucap Qiqi. Eh! Sauqi.

***

“Apa senyum-senyum ni?” Tanya suara itu. Aku memalingkan wajah ke sisi, menghadap wajah kacak itu. Lelaki yang sudah hampir tiga bulan menjadi suamiku itu. Alhamdulillah… setakat ini.. Semuanya baik-baik saja. Baik along atau angah… mereka nampaknya sudah boleh menerima suamiku.

“Teringat kisah kita dulu-dulu.” Beritahuku. Sedar tak sedar… sudah dua tahun kami habis study. Dah dua tahun juga aku kerja kat LL Construction. Mujur lepas praktikal kat situ, aku terus diserap bekerja di situ. Memang rezeki aku murah sangat.

Abang pulak kerja kat KK Holding. Dia ditawarkan kerja kat situ lepas syarikat tu tertarik dengan reka bentuk bangunan yang dia buat time pertandingan mereka bentuk bangunan komersial. Sebelum habis study lagi.. syarikat tu dah tunggu dia. Memang berbaloi-baloi usaha dia ketika belajar.

“Janganlah ingat lagi citer lama k. Malu abang tau.” Entah apa yang dia cakapkan sebelumnya. Hanya sebaris itu yang aku dapat tangkap. Aku masih belum puas mengusiknya.

“Qiqi…” usikku. Wajah suamiku merona merah.

“Nakal..” tanpa amaran dia menarik hidungku. Puas aku menepis, baru dia melepaskan. Aku mengurut hidungku dengan rasa tidak puas hati.

“Alololo… sayang isteri abang ni… jangan buat muka macam tu… tak comel dah..” Pujuknya. Bahuku dipeluk lembut.

Aku tersenyum. Dia memang pandai memujukku. Tidak sangka… aku boleh jatuh cinta dengan lelaki ini.

“Abang… baby teringin nak makan pengat pisang.. ” rengekku. Sengaja hendak bermanja dengan dia.

“Ni… baby ke Dura yang nak ni?” Usiknya tersenyum manis. Sejak aku disahkan mengandung. Dia memang memanjakan aku betul-betul. Apa je aku nak, sebolehnya dia bagi. Aku pun... mengada-ngadalah nak itu ini. Kadang-kadang memang aku sengaja mengambil kesempatan.

“Nape? Kalau Dura yang nak… abang tak nak masaklah ye?” Aku menarik muncung berpeluk tubuh sambil berpaling darinya. Geram je dengan dia ni.

Abang tergelak kecil. Aku memukul tangannya yang menakal untuk memelukku. Sebaik dapat memelukku, dia terus menyandandarkan aku ke dadanya. Dia menyangkut dagunya ke bahuku. Sesekali dia mengucup bahuku. Tangannya mengusap lembut perutku yang masih kempis.

“Asyik merajuk je mama baby ni… entah-entah perempuan ni yang…” Ujarnya. Aku masih menahan diri dari bersuara. Kononnya nak merajuklah ni. Nak tengok… sejauh mana dia nak pujuk.

“Merajuk lagi lah ni… sayang… abang minta maaf k.  Apa je sayang minta… abang masak. Sayang nak makan apa lagi? Pengat pisang je? Nak sup unta? Sup kuda?”

Aku tidak dapat menahan gelakku. Tangannya diperutku aku tampar lembut. Dia turut sama ketawa kecil.

“Ha… macam ni lah baru cute. Sayang kalau gelak cute sangat tau.” pujinya. Aku mencebik. Dia tu, sengaja nak jual minyak lah tu..

“Mengada.”

“Betul…” Ucapnya bersungguh-sungguh.

“Itu belakang kira… Dura tau.. Dura memang cute sangat… Tapi, sekarang ni.. Dura nak makan pengat pisang.” Pintaku sudah kecur air liur.

Abang cepat-cepat bangkit. Dia menghentak kaki dan mengangkat tangan paras telinga. Seperti askar.

“Yes mem..” Jawabnya dan terus terkocoh-kocoh ke dapur. Aku hanya tergelak kecil. Nasib baik ada pisang yang kami bawa dari kampung hujung minggu lalu.

***

“Dura...” Aku terkejut melihat lelaki itu di depanku. Serta merta darahku rasa mengelodak marah. Aku ingin lari dari situ. Dah dua tahun rasanya aku tidak melihat dia. Sejak dia lari selepas mempertaruhkan aku pada Ray selepas dia kalah berlumba malam hitam itu. Dia sempat lari ketika pihak polis menyerbu tempat lumba haram mereka dulu. Ray dan beberapa orang lagi ditangkap polis atas beberapa kesalahan.

“Dura..” Rizky mencapai tanganku. Aku terus menepis kasar.

“Jangan pegang-peganglah.” Marahku. Dia mengangkat tangannya paras dada.

“Okey... okey.. I tak pegang. You ni sombonglah...” perlinya dengan wajah sinis.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Rasa menyesal pulak merayau ke bahagian pakaian lelaki tanpa abang tadi. Kononnya nak beli sesuatu untuk dia untuk surprise. Tak sangka pulak jumpa dengan si Bangang ni.

“Hah! Nak apa?” bentakku. Dia senyum lagi.

“Kalau you hanya nak tersengih kat sini... I pergi dulu.” Dia menghalang aku pergi dengan badannya. Aku menjauh. Geram.

“Ops... ops.. relax dulu. You ni... tak dapat usik sikit. Hmm... you apa khabar? Lama tak jumpa. Bertahun I cari you. I betul-betul nak minta maaf pasal hal dulu-dulu tu. I terpaksa sayang. I merana lepas tu. I betul-betul rindukan you, Dura..”

Sekali lagi darahku rasa menyirap mendengar kata-katanya. Boleh pulak dia cakap macam tu?

“You ni gila ke apa?”

“Hahaha... you ni makin comellah Dura. You dah kahwin?” Aku meluat melihat muka tak malu dia. Dia masih bersandar sambil merenungku.

“I dah kahwin. Dah lah... I nak jumpa husband I. Dia dah tunggu I tu.” Aku pantas berlalu.

“I akan dapatkan you balik Dura... ingat tu. Si Pondan tu tak layak untuk you.” Aku tersentak mendengar kata-katanya. Macam mana dia tahu? Maknanya... dia cuma nak kepastian lah tadi? Aku terus berlalu tanpa menoleh lagi. Makin lama aku di situ. Makin sakit hati aku.

***

“Qiqi.. Qiqi.. jangan tinggalkan aku.. Qiqi...” Aku menangis teresak-esak melihat Qiqi dibelasah..

“Qiqi..”

“Sayang...” Aku terasa kepalaku diusap. Aku tergeleng dengan mata yang masih terpejam. Aku tidak berani untuk mencelikkan mata.

“Qiqi... tolong... jangan pukul Qiqi...” esakku makin deras.

“Sayang... bangun.. hei.. buka mata tu sayang... abang ada sebelah sayang ni.” Pujuk suara Qiqi. Aku tergeleng.

“Sayang... sayang mimpi ni.. buka mata ye..” Pujuknya.

Mimpi? Perlahan-lahan aku mencelikkan mataku. Aku terkebil-kebil melihat abang. Dia mengusap-usap rambutku sambil berbaring mengiring menghadapku. Aku terus menyebamkan wajah ke dadanya dengan esakan. Pertemuan semula dengan Rizky siang tadi seakan mendekatkan semula aku dengan peristiwa hitam itu. Aku betul-betul takut.

“Abang... Dura.. Dura..” Aku gagal meneruskan kata. Esakanku menguasai ruang. 

“Syuss... dah.. jangan nangis... abang takkan tinggalkan sayang. Abang akan lindungi sayang selagi abang masih hidup. Abang janji sayang..” bisiknya sambil menepuk-nepuk lembut lenganku. Aku terus menarik tangannya dan berbaring di lengannya. Dia memeluk erat tubuhku. Aku rasa selamat di situ.

“Dah... jangan nangis lagi. Sayang tidur ye.” Mataku makin memberat. Tepukan lembut dia seakan mendodoikan aku. Abang... terima kasih..

***

“Kau ingat pondan tak mampu bagi zuriat? Kau tengok si Dura tu... mengandung jugak.” Langkah aku dan emak terhenti di pintu dapur. Bisik-bisik itu membuatkan aku menitiskan air mata. Emak pun diam saja sambil mengengam erat tanganku. Aku tidak kisah mereka menghina aku. Tapi.. jangan hina abang. Abang bukan pondan.

“Sabar je lah Dura. Mak Lang kau mulut je macam tu...” pujuk emak, berbisik. Aku hanya mampu berdiam diri memujuk hati.

Abang pulak entah ke mana. Mungkin memasak di khemah bawah. Kalau ada kenduri kendara saudara mara kami, memang abang yang akan dicari. Masakan dia sedap. Kalah masakan aku. Kat rumah tu memang kami dah bahagi tugas. Dia memasak. Aku kemas rumah. Tapi... sejak mengandung ni, memang dia tak kasi aku banyak gerak. Kerja aku cuma masukkan pakaian dalam mesin. Sidai dan melipat pakaian. Kerja yang tak mencabar langsung. Dulu… akulah yang panjat tangga untuk betulkan lampu. Sekarang… jangan harap. Panjat kerusi nak ambil barang atas almari pun… dia dah bising. Macam mulut murai berleter.

“Eh.. Dura.. mana isteri.. ops.. suami kau?” Aku geram mendengar pertanyaan mak Lang yang sengaja buat-buat  tersasul. Kata-kata itu mengundang marahku.

“Kau ni lang... mulut tu.. jaga sikit.” Tegur emak. Emak nampak kurang senang dengan adik iparnya itu. Emak tidak ada adik beradik lain. Adik beradik sebelah arwah ayahlah adik beradik dia.

“Orang tersasullah long... ha.. mana menantu kak long tu?” Tanya Mak Lang. Memang aku kurang berkenan dengan mak lang ni. Mulut dia memang tak bertapis lagi.

“Dia ada kat khemah memasak tu.” Beritahu emak, selamba.

Aku melabuhkan punggung bersebelahan Mak su. Mencapai pinggan untuk dilap. Kalau tidak mengenangkan kenduri doa selamat tok abah dan tok umi balik dari mengerjakan haji, memang aku dah ajak abang balik. Kenduri ni pun… untuk family kami-kami je. Sebab tu takut pulak saudara mara lain kecil hati, terutama tok abah dan tok umi.

“Nape dia tak tolong si Shah dan Mil tu pasang khemah? Nak jugak memasak. Entah apa nasib kau ni Dura... dapat suami lembut macam tu. Dulu aku nak kenenkan kau dengan abang Yazid kau... kau tak nak..” leter mak Lang.

“Alang...” Mak Su mencubit lengan Mak lang. Wajah Mak Su nampak serba salah.

“Alang... kenapa kau ni? Siapa ajar kau menghina orang macam tu? Aku tak pernah ajar anak aku cakap macam tu.” Kami tersentak mendengar suara tok abah dari belakang kami. Mak lang terkulat-kulat. Emak dan Mak Su sama macam aku. Hanya mampu berdiam diri.

“Alah abah... orang cakap pasal anak saudara sendiri.”

“Kau cakap tak fikir perasaan orang. Kau tak ada hak nak cakap pasal orang lain. Kau kena ingat, kau tu ada anak. Lepas ni nak bercucu. Kalau tak kau... anak cucu kau yang terkena.” Leter Tok abah. Wajah mak lang makin kelat.

“Abah ni... macam mendoakan je.” Rungut mak lang. Kami tidak berani menyampuk. Tok abah memang tak suka anak cucu dia menghina orang lain. Pantang betul dia.

“Itulah... cakap hal orang tak ingat.” Mak Su tersenyum kecil melihat wajah kelat mak lang. Aku dan emak hanya membatukan diri.

***

Aku gembira melihat hubungan along, angah dan abang semakin baik. Hubungan dia dengan sepupu aku yang lain pun boleh tahan. Aku hanya ada seorang sepupu perempuan, anak mak lang. Petang ni baru dia sampai dari Sabah. Yang lain semua lelaki. Bayangkan, dua perempuan lawan dengan 18 lelaki. Aku dan Rasyma memang kena buli aje. Nasib baik tok abah selalu protect kami.

Setakat ni.. memang aku sorang je yang dah kahwin. Along sebagai cucu Haji Sahari yang paling tua buat pekak je bila soal kahwin disebut. Dia dah bertunang sebenarnya. Tapi, Kak Nia minta tempoh sehingga dia habis ambik master.

Angah pula.. huh! Memang tak ambil port langsung. Dia cakap tunggu puteri raja pinang dia. Hampeh punya abang. Abang Ajid anak sulong Mak lang pun… diam-diam je. Tak ada bunyi langsung nak kahwin. Rasyma pernah cakap… along dia tu frust giler time aku kahwin dengan abang dulu. Entah betul.. entah tidak si Rasyma tu. Aku tak tau lah. Dia tu kalau bab mengenakan orang nombor satu.

“Sayang buat apa tu?” Aku tersentak mendengar suara abang melaung dari khemah memasak. Malu pulak aku tengok sepupu sepapat aku memandang kami dengan senyuman mengusik. Entah apa-apa abang tu. Macam tak boleh datang dekat .

Aku melangkah ke arahnya yang sedang menggaul lauk di dalam kawah.

“Lapar?” Aku geleng saja. Lauk ayam masak rendang tu Nampak menyelerakan. Tapi… perut aku belum lapar lagi.

“Hmm.. sayang duduk atas jelah… kat sini panas.”

“Tak apalah bang… Dura temankan abang.”

“Hmm… suka hati Duralah ye. Kalau penat… naik atas tau.” Aku hanya tersenyum.

***

Sejak seminggu yang lalu, aku tengok abang banyak termenung. Tanpa dia sedar, kadang-kadang dia mengeluh kesah. Aku tidak senang melihat wajah tegang dia. Bila aku tanya, dia cuma cakap tension sebab projek baru company. Company dia tengah bersaing untuk mendapatkan tender untuk projek kondominium mewah di Bukit K. Ya.. aku tahu itu. Sebelum ni… ada juga projek besar masuk. Tak pulak dia setegang ini. Aku malas hendak mengganggu bila dia cakap, dia akan settlekan sendiri. Aku faham sangat kalau dia dah cakap macam tu. Dia perlukan masa untuk diri sendiri.

Abang dengan masalah dia. Aku pulak… dua minggu yang lalu asyik dapat panggilan dari Rizky sehingga membuatkan aku tekad menukar nombor handphone. Bila aku tukar nombor… ada pulak SMS dari pengirim misteri yang masuk. Mungkin juga Rizky. Entah… Tapi, kalau betul-betul dia. Memang cekap betul dia siasat tentang aku. Dia jadi penjahat kelas satu kot. Geram betul aku.

SMS yang aku terima sebaik aku masuk ke pejabat pagi tadi betul-betul membingungkan aku. Siapa yang hantar mesej ni? Sebelum ni Rizky pernah menghubungi aku. Pelbagai cerita tentang abang dia cakapkan. Semuanya buruk-buruk belaka. Aku tidak percaya langsung. Abang takkan buat aku macam tu.

‘U dtg ke Kelab BB malam ni. U tengok sendiri, apa yg husband U buat’
Aku malas nak reply. Entah-entah si hantu Rizky tu. Sengaja dia guna nombor baru untuk elak aku delete terus mesej dia. Belum sempat aku menyimpan handphoneku, sekali lagi handphoneku berbunyi menandakan mesej masuk.

‘U jgn percaya sgt dgn hubby u 2. Xrugi pun, kalo U dtg mlm ni. Kalo U x dtg, U akn t’tipu spjg hayat U. baik U tau skrg’

Aku betul-betul bingung. Antara percaya atau tidak. Antara rasa ingin tahu dan rasa takut. Perasaanku saling bertingkah. Apa perasaan abang kalau dia tahu aku mula curiga dengan dia? Ya… ALLAH, apa patut aku buat?

***

Mulutku ternganga melihat seseorang di atas pentas itu. Aku tidak tahu apa yang membuatkan aku berkunjung ke situ seorang diri. Mungkin juga kerana rasa sangsi selepas menerima SMS dari seseorang yang tidak dikenali. Aku tidak tahu. Tapi.. apa yang aku jumpa amat mengejutkan aku. Betul-betul melukakan hati aku. Sampai hati abang… air mataku mengalir. Perlahan-lahan aku melangkah ke depan pentas. Nyata… dia tergamam melihatku. Dia terus terkaku. Suara sorakan dari tetamu yang datang seakan sepi. Seakan aku dan dia saja di situ.

‘Dura..’

Aku seakan dapat membaca gerak bibirnya menyeru namaku. Aku tergeleng terus melangkah keluar dari situ. Aku tidak sanggup melihat dia lagi. Betul-betul tidak sanggup. Entah mana janji dia pada aku. Entah mana iman dia. Ya ALLAH.. apa yang aku perlu buat? Esakan aku tidak dapat aku bendung.

 Ketika aku menunggu teksi, aku terasa tanganku dipegang. Wajah itu memandang aku dengan pandangan sayu. Aku cepat-cepat mengesat air mataku.

“Lepaslah…” marahku.

“Abang takkan biarkan Dura balik sorang.” Ucapnya.

“Abang? Bukan Qiqi?” Sindirku sinis. Melihat dia dalam pakaian macam itu membuatkan aku jelik.

“Jom balik.” Dia tidak menunggu jawapan dari mulutku, pantas menarikku ke keretanya. Sepanjang perjalanan balik, kami diam. Aku berusaha untuk mengawal tangisku.

Sebaik sampai aku melangkah ke bilik. Tapi, dia menahanku.

“Dura..” Serunya. Aku memandangnya dengan hati yang membara.

“Abang.. kenapa abang buat Dura macam ni bang? Apa yang abang nak lagi? Abang cakap abang dah berubah. Abang tekad nak berubah.” Aku terus menghambur tangisku. Dari dalam kereta tadi aku menahan tangisku.

Abang hanya membatu. Aku tergeleng-geleng memandangnya dengan rasa tak percaya. Dia dah janji nak berubah. Dia dah janji takkan jadi macam dulu. Abang...

“Abang... jangan diam je. Dura dah tak penting pada abang ke? Abang tak ingat ALLAH? Abang tak ingat anak kita?” Aku kecewa sangat-sangat melihat wajah dia. Wajah yang lama. Kenapa abang sampai hati buat aku macam ni? Apa kata keluargaku nanti? Susah payah aku nak yakinkan along dan angah.

“Abang..”

“Dura tak faham sayang...”

“Cuba fahamkan Dura.. jangan biar Dura buat tafsiran sendiri. Tengok abang macam ni... Dura kecewa sangat bang. Mungkin ini balasan Dura sebab melawan cakap along dan angah.”

“Dura... Jangan cakap macam tu sayang. Jangan buat abang rasa bersalah. Abang sayang Dura.. Abang..” Dia tidak menghabiskan kata-katanya.

Aku menarik nafas dalam-dalam. Cuba menghalau rasa kecewaku. Kalau dengar dari orang lain, sumpah aku tak percaya. Ini... dia yang berdiri di depanku. Melihat dia sekarang seakan mengiakan kata-kata Rizky selama ini. Aku ingat Rizky hanya membuat fitnah untuk memisahkan kami.

 “Dura rasa... Dura kena pergi dari rumah tu. Izinkan Dura balik rumah mak ye bang. Masa tu... terpulang pada abang nak fikir macam mana. Samaada abang nak Dura terus jadi isteri abang.. atau abang nak lepaskan Dura. Tapi... kalau abang nak Dura masih dengan abang. Dura nak abang bertaubat takkan kembali macam ni. Dura nak besarkan anak kita macam pasangan normal bang.” Ucapku panjang lebar. Sekarang... terpulang pada dia untuk membuat keputusan. Aku pasrah dengan apa saja keputusan dia. Aku tidak mahu kami berpisah. Tapi... kalau dia sudah tidak mahukan aku terus menjadi isterinya. Aku terpaksa terima. Memaksa dia kembali menjadi suamiku, tidak sesekali. Aku mahu dia ikhlas berubah. Tapi, kalau ditetapkan kami akan berpisah, biarlah hubungan kami putus dengan baik.

“Sayang... sayang jangan pergi.”

“Tapi bang... Dura perlukan masa untuk diri Dura. Dura perlukan masa untuk tenangkan fikiran.” Luahku. Panggilan sayang dari dia membuatkan hatiku rasa tersayat pilu. Entah ikhlas atau tidak panggilan itu. Adakah dia sayangkan aku sebagai lelaki? Hatiku dihinggap curiga. Ya ALLAH... kuatkan hatiku. Kuatkan cinta kami.

“Kalau macam tu... sayang duduk je kat rumah ni. Ajak mak. Rumah ni memang abang beli untuk sayang. Nanti abang duduk kat apartmen lama abang. Nanti abang jenguk sayang dan anak kita. Kalau sayang dah tenang... sayang boleh call abang.” Putusnya. Entah aku tak pasti kenapa dia berkata begitu. Seakan keputusan di tanganku. Bukan dia yang perlu membuat keputusan.

“Abang kena fikir, apa yang terbaik untuk hidup kita.” Ucapku pula. Sengaja aku menyebut hidup ‘kita’. Keputusan yang dia buat bukan saja melibatkan hidup dia. Tapi.. hidup aku dan anak kami yang ada di dalam kandungan ini.

***

“Dah lama abang sampai?” Tegurku sebaik masuk. Abang duduk terpacul di ruang tamu rumah kami sudah sedia menungguku. Melihat saja aku, abang segera mencapai beg di tanganku, menarik tanganku duduk tanpa menjawab soalanku.

“Dura apa khabar? Nampak penat je.” Tanyanya.

“Penat sikit je. Hari ni kena pergi site.” Aku menarik nafas kelelahan. Hari ini aku terpaksa turun ke tapak projek memeriksa masalah pada roofing bangunan. Kontraktor tu memang degil. Tak ikut spesifikasi dalam skop kerja. Nak untung lebih je. Rungutku dalam hati.

“Kenapa orang lain tak turun? Sayang kan dah enam bulan. Bahaya pergi kat tapak projek.” Wajahnya nampak kerisauan.

“Dura kena pergi juga bang. Dura yang handle projek tu. Lagipun... Dura bukan pergi seorang. Mia ada sekali. Dura ingat... sebelum Dura cuti bersalin, nak explain kat dia lebih lanjut pasal projek ni.” Jelasku. Hatiku masih berdebar sebenarnya melihat kedatangan dia. Minggu lepas dia hanya sempat menghantar barang dapur. Tak sempat berbual panjang. Hari ini... dia datang lagi. Risau apa perkhabaran yang dia bawa kali ini. Aku betul-betul berharap agar dia kembali pada kami menjadi abang, suamiku, dan bukannya Qiqi.

“Hmm... apa-apapun... Dura kena hati-hati ya sayang. Tolong jaga diri tu. Abang tak dapat temankan Dura selalu.” Ucapnya seakan menahan sebak. Aku ikut sama. Apa nak jadi pada hubungan kami?

“Hmm... abang jangan risau sangat. Dura boleh jaga diri.” Balasku, akhirnya. Rasa kekok untuk berbual dengannya. Dia pun... macam teragak-agak untuk bersuara. Melihat dia membuatkan rasa rinduku sedikit terubat. Tentu dia baru balik dari kerja. Masih berkemeja. Tapi tidak dibutangkan dibahagian paling atas kemeja. Gaya lebih santai.

“Abang ada belikan makanan tadi. Malam ni Dura tak payah masak. Ayam, daging, ikan, sayur untuk satu minggu ni abang dah letak dalam peti sejuk tu. Susu untuk Dura... esok abang hantar. Minggu lepas tak perasan pulak dah nak habis.” Ujarnya tanpa ditanya. Aku terdiam saja. Dia masuk ke dapur, membawa buah delima yang sudah siap dipotong.

“Makanlah. Buah ni elok untuk baby.” Ucapnya. Aku hanya memerhati saja.

“Abang sihat?” Tanyaku sebaik makan sehiris buah delima. Hanya tawar aku rasa. Penat seharian membuatkan tekakku rasa pahit.

“Sihat.. Hmm.. abang boleh jaga diri. Apa yang penting Dura tu.” Dia tidak henti berpesan itu ini. Aku tahu dia risaukan aku.

“Abang tak payah risau. Dura boleh jaga diri. Selama ni.. Dura duduk sorang boleh je.” Balasku. Dia mengerutkan kening memandangku tajam.

“Apa? Dura duduk sorang?” Tanyanya pantas.

“Ha a. Nape?” 

“Mana emak? Dura tak ajak dia duduk temankan Dura kat sini? Ingatkan dia keluar kejab.” Tanyanya. Aku hanya geleng. Dia menarik muka tidak puas hati.

“Kenapa?” Tanyanya. Suaranya sedikit tinggi. Aku malas.

“Dura boleh tinggal sorang kat sini.” Balasku malas.

“Kenapa Dura makin degil ni?” Tanyanya dengan nada suara yang sedikit tinggi. Hatiku makin panas mendengarnya.

“Dura degil ke... apa ke... tak ada kena mengena dengan abang. Dura boleh jaga diri.” Jawabku. Kalau dia boleh marah. Aku pun boleh.

“Nak jaga diri macam mana? Tengoklah Dura sekarang. Dalam keadaan macam tu. Ingat boleh nak protect diri tu kalau ada orang nak buat jahat? Dura tu.. bawa nyawa orang lain juga.” Tegasnya. Aku terus bangkit bercekak pinggang. Tak sangka, perbualan yang tenang tadi sudah bertukar panas.

“Abang jangan risau. Dura akan jaga anak abang ni baik-baik. Biar nyawa Dura tergadai sekalipun.” Ucapku sebak. Hatiku rasa pilu bila dia meninggikan suara. Dua minggu lepas,memang aku bercadang untuk mengajak emak menemaniku di situ. Tapi, bila aku fikir masak-masak, tindakan aku nanti akan mengundang keraguan pada along dan angah. Kalau boleh, aku tidak mahu perkara ini sampai ke pengetahuan mereka.

“Dura... abang minta maaf. Abang...” Kata-katanya terhenti bila aku tergeleng. Dia cuba menghampiriku tapi aku makin berundur. Melihat aku berundur, dia tidak jadi melangkah.

“Abang nak apa lagi sebenarnya?” Tanyaku. Aku berharap dia cepat beredar. Lagi cepat dia pergi dari situ. Lagi baik dari melukakan hati aku.

“Abang takut Dura tinggal sorang. Takut jadi apa-apa kat Dura.” Jelasnya.

“Dura tak nak family Dura tahu problem kita. Kalau mak duduk sini, along akan tahu. Tak mustahil angah pun tahu. Abang nak mereka pandang serong kat abang?” tanyaku. Abang terdiam. Aku menunggu kata balas darinya.

“Dura... abang minta maaf. Hmm... abang sayangkan Dura. Abang takut Dura duduk sorang-sorang kat sini.” Ucapnya dengan suara yang kendur.

“Dura boleh jaga diri. Abang jangan risau. Abang ada lagi nak cakap?” tanyaku. Bukan hendak menghalau dia. Tapi... aku takut aku hilang sabar, takut menangis depan dia. Aku harus kuat.

“Hmm... abang... abang sayang Dura. Take care ye sayang.” Ucapnya melangkah ke arahku. Dia mendakapku erat. Bila dia meleraikan pelukannya, aku cepat-cepat mengesat air mataku.

“Assalammualaikum..” Ucapnya sebelum melangkah pergi.

“Waalaikumsalam..” Jawabku perlahan. Entah dengar atau tidak. Ampunkan Dura bang... Dura sayang abang. Dura tak sanggup kehilangan abang. Jerit hatiku.

***

“Dura... cantik bunga kat meja kau. Hubby kau bagi ek? Mesti kau tengah merajuk dengan dia kan?” Aku hanya terpingga-pingga mendengar soalan Mia. Dia tersenyum-senyum mengekori aku sampai ke bilik. Memang aku agak lewat hari ini, semalaman aku tak boleh tidur.

“Eh! Tak adalah. Hmm... kau dah buat research pasal projek semalam tu?” Tanyaku.

“Dah... Cuma.. ada certain part aku tak faham. Yang kat SOW dan drawing tu. Itulah aku nak tanya pada yang pakar ni.” Guraunya dengan gelak kecil. Aku ikut tergelak sama. Gadis ceria ini sentiasa menyenangkan aku. Nasib baik juga En. Sharkawi minta dia yang ambil alih tugas aku sepanjang aku cuti bersalin nanti. Dia jenis yang tidak berkira. Cekap dan cepat belajar. Dia lewat enam bulan je dari aku masuk ke LL Construction.

Aku terpegun melihat jambangan bunga yang dimaksudkan oleh Mia di awal tadi. Sebaik aku duduk di kerusiku, aku terus capai jambangan itu. Automatic aku menghidu bau wangi bunga segar itu. Bunga lili. Abang sorang je tahu bunga lili adalah bunga kesukaan aku. Mungkin dia hantar bunga ni sebagai tanda minta maaf selepas kami berselisih faham semalam.

“Kau suka bunga lili?” Tanya Mia. Aku sedikit tersipu kerana terlupa dia sedang duduk di depanku. Kelekaan aku pada jambangan bunga itu membuatkan aku lupa dia masuk sekali dengan aku tadi.

“Ha a. Hmm... part mana kau tak faham?” Aku malas hendak bercerita pasal jambangan bunga it uterus bertanya pasal projek kami.

“Oh... ni... kat drawing ni... “ aku terus melepaskan jambangan bunga itu ke sisi meja. Terus menumpukan perhatian pada drawing bangunan blok sekolah yang dibawa oleh Mia masuk sekali tadi. Projek ni bernilai jutaan ringgit. Antara projek yang besar bagi company sederhana macam LL Construction. Lainlah kalau KK Holding, tempat abang bekerja. Projek nak mereka dapat lebih dari ratusan juta. 

“Mia.. petang ni kau ada hal tak? Lepas balik kerja?” Tanyaku sebaik kami selesai berbincang. Mia kembali menggulung drawing dan dimasukkan ke dalam plan holder.

“Tak. Nape? Kau nak belanja ek?” Tanyanya riang.

“Ha a. Kau nak?”

“Eh! Mestilah nak. Kita nak makan kat mana?” Tanyanya masih dengan wajah cerianya.

“Kita makan satay Kajang.” Ucapku. Entah... mungkin ini orang cakap mengidam. Aku teringin sangat nak makan Satay Kajang. Kalaulah abang ada.

Aku rasa separuh nanar bila dia tiada di sisi. Tapi... aku cuba cekalkan hati. Aku harus berdikari. Jumpa semalam pun kami berselisih faham.

“Wokey... bestnya. Lama tak makan satay Kajang. Eh! Hubby kau tak joint sekali ke?” Tanyanya dengan kening berkerut. Aku serba salah untuk menjawab.

“Dia... dia busy. Malam ni... balik lewat.” Hanya itu jawapan yang sempat aku reka. Mia terangguk-angguk.

“Mesti kau mengidam kan Dura? Cian baby ni... nanti auntie Mia teman baby dan mama baby makan satay Kajang ye.” Aku tergelak kecil melihat telatah Mia. Masih berperangai kebudak-budakan.

“Dura... boleh aku pegang perut kau? Macam teringin.” Dia tersengih meminta kebenaran. Aku angguk saja. Letak saja Mia tangan di perutku, aku terasa bayiku bergerak. Mulut Mia melopong.

“Eh! Dia bergerak. SUBHANALLAH...” Ucap Mia kagum. Aku senyum kecil.

“Kalau nak merasa sendiri..cepatlah kahwin.” Saranku. Bukan aku tidak tahu dia tengah syok bercintan cintun dengan akauntan ofis kami.

“Ala.. Relax la dulu. Kami masih muda. Kalau dah ready... nanti kami melangkah ke gerbang perkahwinan.” Ucapnya selamba.

“Yelah tu... jangan tunggu lama-lama tau.” Pesanku. Mia tergelak.

“Wei... aku minta diri dulu. Lunch nanti kita borak lagi k.” Ucap Mia sebelum melangkah keluar. Aku tergeleng saja. Mia... Mia...

***

Tanpa dia di rumah ini membuatkan aku rasa orang bodoh. Tiga bulan hubungan kami tergantung. Aku sudah menunggu hari untuk melahirkan. Aku jadi ralat hidup sendirian. Selama ini... dia memanjakan aku sehingga aku terlupa untuk hidup berdikari. Hari-hari yang aku lalui tanpa semangat. Di pejabat pulak, aku pura-pura ceria macam biasa. Tidak mahu kawan-kawan berfikir yang bukan-bukan. Apa yang mereka hairankan, rutin aku pergi dan balik kerja dengan teksi. Abang mesej dengan aku supaya naik teksi yang dia sudah tempah untuk aku sepanjang dia tiada. Sebelum ini… memang dia nak hantar aku pergi dan balik. Abang.. Dura rindukan abang.. rintih hatiku. Dalam keadaan yang sarat ini... aku rasa semakin lemah. Aku sengaja tidak mengajak emak menemaniku di sini. Bimbang emak akan berfikir yang bukan-bukan.
Bunyi loceng rumahku membuatkan aku sedikit tersentak. Aku menggagahkan diri membuka pintu. Emak dan along. Detik hatiku melihat mereka berdiri di pintu pagar. Aku melangkah lambat-lambat membuka pintu pagar.

“Emak dengan along apa khabar?” Tanyaku ketika menyalami mereka. Aku tidak sedap hati melihat wajah tegang along. Aku mempelawa mereka masuk.

“Apa semua ni Dura? Please... explain kat along sebelum along belasah dia.”

Belum sempat kami duduk, along melempar gambar-gambar itu di depan meja. Aku ternganga melihat gambar yang along lemparkan. Dia berjalan mundar mandir depan aku dan emak. Macam mana along boleh dapat gambar ni? Aku telan liur pahit.

“Itu… itu..”

“Kau cakap Sauqi tu bukan pondan. Hah… ni apa ni? Gambar dia kat atas pentas ni. Dia buat part time jadi model untuk fashion show ke apa?” wajah along kemerahan. Marah. Aku terkulat-kulat di sebelah emak. Emak hanya tergeleng saja.

“Dia.. dia..”

“Dia.. dia apa?” Sergah along.

 Aku tidak mampu untuk mencari kata-kata untuk menjawab soalan along.

“Itulah kau… dari dulu lagi aku larang kau kahwin dengan si pondan tu. Kau tengok sekarang… dia kembali dengan perangai dulu-dulu.” Marah Along. Dia mengepal-ngepal penumbuknya. Aku rasa, kalau abang ada di situ, memang teruk abang menjadi mangsa tumbukan dia.

“Kalau dia masih macam tu. Baik kau minta cerai dari dia.” Tegas along.

Kata-kata itu bagaikan halilintar. Aku gerun melihat kemarahan along. Along jarang marah. Kalau dia marah, memang aku takut sangat. Entah.. apa aku nak cakap lagi. Aku masih sayangkan abang. Dia suami aku. Tetap akan jadi suami aku, kalau abang kembali pada aku.

“Along… cuba bawa bersabar. Dengar dulu apa kata adik. Bagi peluang Sauqi untuk jelaskan. Tak baik menghukum tanpa mendengar penjelasan dari dia.” Ujar emak lebih berdiplomasi.

“Nak dengar apa lagi mak? Mak tengok sendiri gambar tu kan.. Pondan tu....”

“Along… dia tu ada nama. Jangan nak kusutkan lagi keadaan. Kesihan adik ni.” Celah emak lagi. Dia Nampak susah hati. Aku serba salah melihat wajah mereka. Apa lagi hendak aku jawab.

“Along tak peduli. Adik kemas barang adik sekarang. Ikut along dan emak balik rumah kita. Along nak adik tuntut cerai dari pondan tu.” Tegas along. Aku terpana. Emak hanya tergeleng.

“Tapi long... adik tak nak bercerai.” Jawabku takut-takut.

“Tak nak bercerai? Habis? Kau nak bermadu dengan jantan?” Bentak along. Aku menikus.

“Kemas barang kau sekarang.” Sergah along. Bahuku sedikit terangkat. Terkejut mendengar sergahan along.

“Along... kesihan adik kau ni.” Celah emak.

“Kerana kesihanlah along nak adik berpisah dengan si pondan tu mak. Mak sanggup tengok adik hidup dengan si pondan tu? Mak nak tengok adik merana hidup dengan lelaki macam tu? Entah penyakit apa orang macam tu boleh bawa.” Leter along.

Aku diam saja, terus bangkit ke bilik. Air mataku tumpah bila satu persatu pakaianku aku letak ke dalam luggage. Emak masuk tidak lama kemudian.

“Dura duduk je. Biar mak simpan.” Tegah emak sambil menarik tanganku supaya duduk saja.

“Mak... mak rasa abang betul-betul pondan?” Tanyaku dengan sendu yang bersisa. Kebisuan emak seakan menjawab segalanya. Siapa lagi yang boleh sokong keyakinan aku yang abang bukan pondan? Siapa?

***

“Apa maksud ni Dura? Dura macam mereka juga? Tak percaya kan abang?” Tanya abang dengan riak wajah nyata muram. Setelah along memaksa aku mengikut mereka balik ke rumah. Aku mengambil keputusan berjumpa dengan dia, tengah hari di tempat kerja dia. Dia mengajak aku ke tasik. Bimbang perbincangan kami akan menjadi pergaduhan.

“Abang... Dura...Dura..” Aku serba salah.

“Abang bukan pondan, Dura. Apa yang berlaku dulu satu kesilapan. Abang buat semua tu bersebab.” Ujarnya. Aku tidak faham apa yang cuba dia sampaikan. Cerita yang masih ada tirainya untuk aku faham.

“Habis... apa sebabnya?” Tanyaku separuh mendesak.

“Abang tak boleh cakap dulu. Sampai masanya abang akan explain satu persatu.” Balasnya. Aku makin rimas dengan semua ini. Rasa marah, terdesak ingin tahu saling bertingkah.

“Kerana jawapan abang inilah Dura terpaksa ikut cakap along bang. Abang pentingkan diri abang je.” Esakku tidak dapatku tahan. Aku sayangkan dia. Kalau boleh... aku tak nak kehilangan dia.

“Jangan nangis sayang. Sayang..” Aku menepis tangannya yang cuba membantuku mengesat air mata di pipiku.

“Dah.. jangan sentuh Dura..” marahku. Abang diam.

“Abang tahu tak, seksanya Dura tanggung semua ni. Abang apa tahu. Dura tak nak kehilangan abang. Dura tak nak besarkan anak kita seorang diri. Tapi bang... along dah desak Dura tuntut fasakh. Abang tahu tak..” Luahku bersama tangisan.

Abang menarik aku ke dalam dakapannya. Mengusap lembut belakangku. Aku menghamburkan tangis di dadannya. Biarlah dia tahu bebanan perasaan yang aku tanggung. Biar dia terseksa sama.

“Abang akan berusaha selesaikan semuanya sayang. Abang akan buat yang terbaik untuk sayang dan anak kita.” Pujuknya. Kucupannya singgah di dahiku dan atas kepalaku yang bertudung silih berganti. Betapa aku rindu pada suara dan belaian dia.

“Dura harap abang bukan seperti apa yang orang lain cakap. Jangan ulang kesilapan lalu bang.” Ucapku perlahan. Abang hanya diam, tetap mengemaskan pelukannya. Aku turut membalas, melerai kerinduan yang tertanggung. Selepas ini... mungkin aku tidak berpeluang mendakapnya seperti itu.

***

“Berapa kali along nak cakap? Jangan jumpa si pondan tu... kau memang degil Dura.” Herdik along sambil melemparkan gambar perjumpaanku dengan abang, mingu lepas. Aku menggigil melihat kemarahan along. Tapi... siapa pulak yang bagi dia gambar tu?

“Kenapa kau ni long? Sampai je terus nak marahkan adik?” Tanya emak segera menghampiriku. Aku terus memeluk emak. Gentar along akan bertindak di luar kawalan. Wajah dia nyata kemerahan. Marah.

“Mak tanya sendiri dengan anak kesayangan emak tu. Along dah tak nak dia ada apa-apa hubungan dengan si pondan  tu. Tapi... dia degil. Tak dapat jumpa kat rumah, dia pergi jumpa kat tepi tasik tu. Mak tengok gambar tu.” Marah along sambil menghulurkan handphone pada emak. Emak terdiam tapi turut memandang ke arah skrin handphone along. Aku diam.

“Dia jumpa suami dia long. Bukannya orang lain.” Bela emak.

“Suami ke macam tu? Dia sendiri yang rosakkan hidup dia mak. Kalau dia tak pilih si pon.”

“Along…”

Kami terkejut mendengar suara angah dari muka pintu. Bila dia sampai? Kata-kata along turut terhenti di situ. Hatiku rasa dicarik-carik setiap kali ada orang yang mengutuk abang. Tapi… aku tidak tahu apa alasan untuk aku pertahankan dia, sedangkan gambar abang dengan pakaian wanita sudah sampai ke tangan keluargaku. Aku malu.. tapi.. aku tidak sanggup kehilangan abang.

“Kau kenapa baru sampai? Kau dah jumpa si pondan tu?” Tanya along keras.

“Along jangan hina Sauqi macam tu.” Tegah angah.

Aku memandang wajah angah dengan rasa tidak percaya. Aku ingat dia akan mengutuk abang macam along juga. Along mempamerkan wajah tidak puas hati. Angah mengambil tempat di sebelah emak.

“Kau pun dah termakan dengan kata-kata si pondan tu. Hah... kau tunggu sekejab. Aku ambil gambar si pondan tu.” Along berlalu ke biliknya. Aku memandang angah dengan perasaan penuh tanda tanya. Emak hanya mampu mengusap bahuku. Memujuk.

“Kau tengok gambar ni. Gambar si pondan tu tengah berpesta sakan.” Herdik along sebaik sampai. Gambar abang berpakaian wanita dia hulur kat angah. Angah diam memandang gambar itu. Aku hanya mampu membisu bersama emak.

“Along tengok video ni pulak.” Ujar angah.

Mataku membulat mendengar suara-suara gelak dan teriakan dari video yang angah buka. Darahku rasa naik ke kepala. Suara-suara dari dalam video itu seakan mengheret aku kembali ke malam itu. Walaupun, aku tidak melihat video itu. Tapi... aku tahu, video yang along tonton dalam handphone angah itu video malam hitam itu. Aku menutup telingaku.

Aku tidak sanggup mengingati tragedy hitam itu... Malam itu.. Ya malam yang hampir-hampir meragut kesucianku. Malam itu nyaris-nyaris diperkosa oleh Ray dan kawan-kawan dia. Tapi… abang yang selamatkan aku. Abang yang heret aku lari . Tapi… siapa pulak yang sempat merakam aksi dalam video itu? Kenapa sudah bertahun baru video tu muncul? Atau… memang sudah lama video tu ada kat you tube? Hatiku makin kuat berdebar. Ya ALLAH…

Aku tidak sanggup melihat wajah along dan angah. Mesti mereka terkejut melihat aku dipeluk lelaki yang tidak mereka kenali malam itu. Melihat bagaimana lelaki itu menarik bajuku sampai terkoyak di bahu. Aku tidak sanggup.

“Jangan tengok long.. ngah..”

“Adik boleh explain apa maksud video ni?” Tanya angah dengan suara tenang.

Along dan emak tergeleng-geleng. Ya… video itu kelihatan mencurigakan. Tapi… aku berani bersumpah. Tiada apa-apa yang berlaku masa tu. Ketika Ray baru hendak mendidihku. Abang telah memukul Ray dengan kayu. Abang mengugut mereka dengan mengacukan pisau jika mereka berani menghampiri. Kami berjaya melarikan diri. Walaupun akhirnya abang ditikam di perut selepas mengalihkan perhatian Ray dan kawan-kawannya dari tempat aku bersembunyi.

“Macam mana angah dapat video ni?” Tanyaku dengar suara bergetar.

“Angah nak adik jawab soalan angah tadi. Bukan adik tanya angah balik.” Tegas angah.

Aku pandang wajah emak. Emak masih menunggu jawapan dariku. Along terdiam. Mungkin juga menunggu aku menjawab.

“Adik.. adik mengaku… adik tak sebaik yang along dan angah fikir selama ni.” Akuiku.

Mereka tergeleng dengan wajah kecewa. Along nampak kesal. Angah masih memandangku menunggu penjelasan lanjut.

“Tapi… adik berani bersumpah ngah.. long… tak ada apa-apa yang berlaku malam tu. Adik berjaya larikan diri dari mereka. Qiqi tolong adik dengan acukan pisau pada mereka. Qiqi heret adik bersembunyi kan semak sebelah jalan. Sumpah long.. sumpah ngah…” ceritaku dalam esakan.

Emak membawa aku ke dalam pelukan menenangkan aku. Aku sudah bercerita semuanya pada emak sebelum ini. Dia lebih memahami. Tapi.. dia pun macam aku. Baru tahu kewujudan video ini. Mungkin juga hatinya terluka. Mak… ampunkan adik mak..

“Kenapa kau jadi macam ni dik? Kenapa kau boleh bergaul dengan orang macam tu, dulu?” Tanya along dengan suara kesal. Dia tersandar.

“Adik fikir nak seronok je masa tu long. Adik nak bebaskan diri dari dikongkong. Adik ingat… kebebasan boleh bagi keseronokkan pada adik. Tapi.. adik silap long. Adik silap. Adik hampir kehilangan maruah adik kerana nak cari kebebasan. Kalau tak ada Qiqi adik tak tau apa yang jadi malam tu.” Jawabku dengan sendu yang bersisa.

“Qiqi tu.. Sauqi?” Tanya along lagi. Aku angguk.

“Sejak malam tu dia berubah long. Dulu ye.. memang dia berperwatakan lembut. Dia ditikam selepas alihkan perhatian samseng-samseng tu dari tempat persembunyian adik. Dia cakap.. dia  betul-betul ikhlas nak lindungi adik. Tapi… nampaknya… adik silap menilai. Dia… dah kembali..”

“Tak dik.” Pintas angah.

Aku terdiam. Tiga pasang mata memandang angah tepat.

“Adik tau tak… sebab video ni.. Sauqi sanggup jadi macam tu semula. Dia terpaksa dik. Dia buat macam tu untuk selamatkan maruah adik. Ada orang ugut dia nak sebarkan video ni kat internet kalau Sauqi tak jadi boneka pada malam adik cekup dia kat party tu.” Terang angah. Aku tergamam. Emak mengucap panjang.

“Malam tu je dik.. malam tu je dia buat macam tu. Ada orang nak pedajal korang.” Jelas angah. Wajahnya menahan kemarahan, atau mungkin geram. Tapi… macam mana angah boleh dapat video ni?

“Mana angah tau hal ni?” Emak bertanya selepas dari tadi hanya menjadi pendengar.

“Angah jumpa masa kami serbu kat rumah suspek pecah rumah kat Taman M semalam.” Beritahu angah. Kami sekali lagi terkejut.

“Kita kenal penjahat? Siapa dia ngah?” Desak along.

“Rizky.” Jawapan angah sudah dapat aku teka. Dialah dalang sebenarnya.

“Siapa Rizky?” Tanya along. Mereka memang tidak pernah tahu siapa Rizky tu.

“Dia.. dia ex-boyfriend adik. Dia… dialah yang pertaruhkan adik pada malam hitam tu dalam lumba kereta haram.” Jelasku. Sekali lagi along dan angah tergeleng. Melihat wajah kecewa mereka membuatkan rasa bersalah makin kuat bergayut. Tambah-tambah bila teringatkan abang.

“Angah dah dapat tangkap dia?” Tanya emak. 

“Tak. Tapi, angah dah soal siasat salah seorang ahli ninja. Tak sangka Rizky ketua geng ninja. Kumpulan pecah rumah yang kami cari selama ni. Tapi… sampai sekarang kami masih belum berjaya tangkap Rizky. Dia sempat larikan diri dalam serbuan semalam.” Beritahu angah lambat-lambat. Aku ternganga. Sekali lagi rasa kena renjatan elektrik.

“Adik takut… dia sebarkan video adik tu.” Luahku perlahan.

“Adik tak payah risau lagi. Lap top dia dah dirampas. Video adik takkan tersebar. Angah dah deletekan. Ini… angah ambik video ni untuk minta penjelasan adik. Angah nak dengar sendiri dari mulut adik. Angah dah dapat jawapan. Sekarang angah akan delete.” Cerita angah. Aku sedikit lega. Tapi…  hatiku tidak tenteram mengenangkan abang. Macam mana dia sekarang? Aku harus jumpa dia. Dia… dia banyak berkorban untuk aku.

“Macam mana angah tau, cerita pasal abang di paksa jadi.. jadi..” aku serba salah untuk menyebutnya.

“Sebenarnya… serbuan itu atas maklumat Sauqi. Dia minta angah tolong dia untuk siasat hal video tu. Dari situ angah tau, dia diugut supaya kembali jadi pondan untuk malam tu sebagai syarat supaya Rizky serahkan video tu pada dia. Tapi… tak sia-sia juga angah intip Rizky tu. Intipan tu membawa kami kepada penangkapan ahli kumpulan ninja.” Cerita angah. Kami hanya terangguk-angguk. Nasib baik juga abang kedua aku ni seorang inspector polis.

“Mak.. adik bersalah kat abang.” Ucapku kesal sambil melentokkan kepala ke bahu emak.

“Adik pergi cari suami adik. Kembali pada dia.” Ucap emak. Aku pandang wajah dia dengan pandangan yang kelam. Air mataku semakin lebat mengalir. Nyata… abang tidak sejahat yang disangka.

***

Aku meminta angah menemani aku sampai ke depan pintu lift saja. Aku tak nak menyusahkan dia. Lagipun, dia nak masuk bertugas lagi lepas ni. Sepanjang menunggu lift sampai ke tingkat tujuh, aku merangka ayat yang sesuai untuk memohon maaf dari abang. Aku takut dia enggan memaafkan aku.

Ketika aku memulas pintu apartmen, aku sedikit hairan bila pintu tidak berkunci. Ruang depan sedikit berselerak. Takkan abang tak kemas. Setahu aku… abang seorang yang rajin mengemas. Langkahku terhenti melihat abang duduk di kerusi yang menghadap ke tingkap besar. Dia tidak sedar kehadiranku memandangkan kerusi itu membelakangkan aku.

“Abang…” Panggilku. Abang tidak menyahut. Aku jadi serba salah.

“Abang… ampunkan Dura bang… Dura tak tau. Dura…” Aku tidak mampu bersuara bila mengenangkan rasa bersalah aku. Abang diam masih tidak mahu menoleh. Hatiku tidak keruan melihat dia diam saja. Marah betul dia pada aku.

“Abang…” Panggilku. Aku tidak sedap hati melihat dia tidak berkutik sedikitpun. Perlahan-lahan aku melangkah ke depannya. Mataku terbeliak melihat darah di dadanya. Ya ALLAH… Peristiwa dia ditikam beberapa tahun lalu terbayang di mata.

“Abang..” Aku sudah berteriak.

“Abang.. bangun bang… bang..” Panggilku mengusap kepalanya. Aku terus meletak jari di hidungnya. Dadaku sedikit lega merasa hembusan nafasnya. Cepat-cepat aku menyelongkar handbag mencari handphone. Tapi, tiada. Mungkin lupa kat rumah emak.

Aku segera berlari ke arah telefon rumah. Aku tidak tahu, apa yang aku pijak. Kakiku tersadung. Badanku rasa melayang sebelum aku merasa kesakitan yang amat sangat pada seluruh badanku. Ya ALLAH... pandanganku rasa berpinar.

“Abang…. Ya ALLAH… sakitnya. Tolong…” Aku cuba berteriak. Tapi… suaraku tidak mampu aku besarkan. Aku tidak mampu menahan air mata.

“Ya ALLAH…selamatkanlah kami ya ALLAH… abang.. bangun bang… Dura sakit bang..” tangisku. Aku mengensot cuba mendapatkan dia. Kakinya aku tarik. Kesakitan pada perutku membuatkan aku makin kuat menangis. Ya ALLAH.. sakitnya.

“Abang…” nafasku rasa sesak. Aku tidak mampu membuka mata.

“Du..Dura..” suara itu membuatkan aku sedaya upaya membuka mataku.

“Abang.. sakit bang..” Tangisku. Dalam kelam pandanganku aku melihat dia sedaya upaya untuk bangun.

“Sabar sayang.. sabar.. abang bawa Dura ke hospital ye.” Pujuknya bersama usapan di pipiku. Aku tidak mampu bersuara. Hanya esakan yang terkeluar. Kesakitan itu membuatkan aku jadi kaku. Tidak mampu untuk bergerak. Apa yang aku rasa.. abang cuba mengendongku. Ya.. Abang membawa aku keluar dari apartmen itu.

***

“Dura..” Suara itu dekat di telingaku. Aku membuka mata perlahan-lahan. Wajah emak pertama kali menyapa pandanganku. Dia mengusap-usap lembut rambutku. Along dan angah pun ada disitu. Mana abang?

“Mana abang?” Tanyaku memandang wajah emak.

“Adik rehatlah dulu. Adik tak sihat lagi ni.” Pujuk emak.
Hatiku rasa berdebar. Aku terus teringatkan kandunganku. Pantas aku meraba perutku. Hah? Kempis? Air mataku terus mengalir.

“Mana anak adik mak? Dia selamat kan? Mana dia? ” Tanyaku dengan suara bergetar. Hatiku berdoa agar anak aku selamat. Anak aku dan abang. Kalau diikutkan.. memang aku tengah menunggu hari untuk melahirkan.

“Alhamdulillah… dia selamat. Cuma masih dalam bilik baby sayang. Adik dapat anak perempuan. Comel. Muka iras papa dia.” Beritahu emak. Aku meraup tangan ke muka dengan ucapan Alhamdulillah. Ya ALLAH… syukur.. tapi.. abang macam mana?

“Abang macam mana?” Tanyaku pantas.

“Adik... adik rehat dulu. Jangan fikir hal lain. Dura masih lemah tu.” Pujukan emak membuatkan aku makin berdebar. Emak seolah menyembunyikan sesuatu.

“Angah?” Wajah angah aku pandang.

“Betul cakap emak tu dik.. adik rehat dulu. Nanti...”

“Kenapa semua orang tak faham perasaan adik? Kenapa semua orang tak nak berterus terang?” Tangisku. Emak dan angah nampak gelabah. Along menghampiri kami. Aku memandangnya menagih jawapan.

“Adik.. Sauqi tak ada..”

“Hah? Abang dah tak ada? Ya ALLAH… adik banyak dosa kat abang. Along.. along tipu kan? Along jahat. Along memang tak sukakan abang..” tangisku memeluk lengan emak.

“Adik... hei... apa adik cakap ni?” Emak cemas memelukku.

“Sampai hati abang tinggalkan adik mak... adik dan anak kami masih perlukan dia. Kesihan anak kami mak... dia tak sempat..”

“Dura.. apa Dura merepek ni?”

Aku terkejut mendegar suara itu. Sekali lagi aku ternganga memandang wajah itu. Angah memberi ruang tok abah menyorong kerusi roda itu menghampiri aku.

“Abang?” aku tergamam. Abang tersenyum tawar. Mukanya sedikit pucat.

“Along cakap.. along cakap abang tak ada..” aku rasa tidak percaya.

“Itulah… orang belum habis cakap dia dah melalak tahap tak ingat. Along nak cakap Sauqi tak ada kat sini. Dia jenguk anak korang.” Tempelak along.

Aku tersipu malu. Masing-masing menahan gelak dengan senyum simpul. Wajahku rasa panas.

“Abang sihat tak?” Tanyaku. Dia masih mengengam tanganku. Ahli keluargaku yang lain keluar dari wad itu, memberi ruang aku dan abang berbual berdua.

“Abang sihat je. Sayang macam mana? Dah okey sikit?” Tanyanya. Aku angguk menahan rasa hati.

“Ampunkan Dura bang.. Dura bersalah kat abang. Dura..” Kata-kataku mati di situ. Bila jari telunjuknya hinggap di bibirku. Dia menggeleng.

“Dura.. semua orang buat silap. Abang tak boleh salahkan Dura, sebab Dura salah faham. Abang pun salah sebab tak berterus terang dengan Dura. Abang biarkan Dura fikir macam-macam. Masa tu… abang Cuma fikir nak selesaikan masalah ni sendiri. Lepas selesai, abang ingat memang nak berterus terang dengan Dura. Tapi… tak sangka.. jadi macam dua hari lepas.” Balas abang.

“Hah? Dua hari?” Aku terkejut. Maknanya.. dua hari aku tidak sedarkan diri?

“Ha a sayang. Anak kita lahir pun.. melalui pembedahan. Abang takut sangat tengok sayang tak sedar. Abang tak boleh kehilangan sayang. Abang tak boleh..” Ucapnya sebak. Aku turut sama sebak.

“Macam mana hal ni boleh berlaku bang? Apa yang terjadi sebenarnya?” Tanyaku.

Abang menarik nafas dalam-dalam. Satu persatu dia ceritakan.

Ya ALLAH… terima kasih kerana masih menyelamatkan kami. Terima kasih di atas kurniaan ini. Menurut cerita abang… Sebelum aku sampai malam itu, Rizky datang mendesak abang untuk memberi duit 30 ribu ringgit untuk dia melarikan diri. Tapi.. abang tidak ada wang tunai sebanyak tu. Rizky naik darah dan menikam abang dengan pisau.

Ketika abang mengangkat aku ke hospital pun… nasib baik jiran depan rumah kebetulan baru sampai dari makan malam kat luar. Dua orang pemuda itu yang membantu membawa kami ke hospital.

Menurut abang juga, Rizky telah berjaya diberkas dalam sekatan jalan raya semalam. Rizky cuba melarikan diri ke Thailand. Nasib baik juga dia tak sempat meloloskan diri.

“Anak kita macam mana?” Tanyaku. Aku belum berkesempatan memeluk dan memandang wajah buah hati kami itu. Hatiku rasa tidak sabar.

“Alhamdulillah… Nadira sihat. Cuma… dia masih dalam incubator. Dia kena kuning sikit.” Beritahu abang.

“Alhamdullillah… dia ikut muka siapa?”

“Mestilah muka papa dia yang hensem ni.” Ucap abang. Aku mencubit pehanya.

“Perasan.” Balasku tersenyum bahagia. Tidak sabar untuk melihat anak kami itu.

“Tak percaya sudah. Jangan kecil hati tau tengok muka dia betul-betul iras abang. Anak papalah katakan?” Dia tersenyum bangga. Aku hanya gelak saja melihat keriangan dia. Alhamdulillah.. tak kisahlah ikut muka siapa. Janji dia sihat.

“Tak apa… orang cakap anak perempuan memang selalu ikut muka ayah dia. Lepas ni, kalau kita dapat anak lelaki. Mesti ikut muka Dura.” Balasku.

“Wah… ini memang best. Nampaknya… tahun depan ada peluang nak tambah satu lagi.” Dia gelak.

“Jangan harap bang… Dura kan caesarean.. mana boleh beranak rapat.” Aku sengaja mengingatkannya.

 “Ala… nampaknya… lambat lagilah nak tambah lagi satu. Tak apalah… lambat ke cepat.. kalau boleh… Nadira ada enam lagi adik.” Ujarnya. Aku hanya tergeleng dalam senyuman. Iya sangatlah tu. Macam dia pulak yang beranak.

Alhamdulillah… setelah apa yang kami lalui, kami masih tetap bersama. Peristiwa yang lalu akan aku jadikan pengajaran untuk masa hadapan. Aku bersyukur dikurniakan abang sebagai suami. Dia betul-betul suami yang baik. Hati dia cantik… jiwa dia lembut. Tapi… abang bukan pondan. Ya… dia lelaki sejati. Hehehe. Aku bahagia dikurniakan suami macam dia. Dia tidak cepat marah dan sangat pemaaf.

Syukur tidak terhingga juga, anak kami Nadira selamat dan sihat. Aku sangka aku akan kehilangannya. Nyata… TUHAN masih mahu memberi peluang si kecil itu menemani kami suami isteri. Aku berjanji tidak akan mensia-siakan peluang ini. Aku sentiasa berdoa, agar bahagia ini sentiasa mengiringi keluarga kami. Semoga terus berkekalan hingga ke Jannah.


p/s: Salam... citer ni dah siap edit. mgkn de gak slh ejaan.